Norman Hakim kongsi memori ‘surat cinta’ Marissa Dania - Utusan Malaysia

Norman Hakim kongsi memori ‘surat cinta’ Marissa Dania

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Norman Hakim, mendedahkan, sehingga kini dia masih menyimpan surat-surat ‘cinta’ pemberian anak perempuannya, Marissa Dania meskipun sudah sembilan tahun berlalu.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Norman memberitahu, Marissa sejak kecil mempunyai sisi dan nilai sentimental dan gemar meluahkan rasa sayang kepadanya melalui coretan surat.

“Hari ini, sembilan tahun yang lepas, papa dapat ‘surat cinta’ dari Adik (panggilan manja Marissa). Surat yang comel sangat-sangat. Bukan setakat comel,tapi sangat mendalam segala maksud yang tersirat walau dicoret oleh anak yang berusia 10 tahun.

“Mama dan Mummy pun dapat surat seorang satu dari Adik. Hilang segala belenggu lelah bila dapat surat ini dari Adik.Sampai hari ini surat ini masih tersimpan kemas dalam fail papa,”katanya.

Selain itu, Norman juga berkongsi memori ketika dia menyambut kelahiran Marissa pada tarikh hari ini sekitar 19 tahun lalu.

“Sekitar 19 tahun lepas, papa tak akan lupa momen sambut kelahiran Adik dalam kereta. Tak sempat bawa Mama sampai klinik, Adik dah tak sabar nak keluar. Papa ingat lagi perkataan pertama yang keluar dari mulut Mama bila Adik dah keluar Adik nangis sekejap saja lepas itu diam.

“Mata terkebil-kebil, pandang papa pandang mama. Mama cakap ‘Hidung Norman Hakim lah’. Nampak saja muka Adik,terus lenyap panik papa. Terus hilang sakit Mama bertarung nyawa lahirkan Adik.

“Selamat Ulangtahun kelahiran anakku Marissa Dania. Sayang papa pada Adik dari sambut sendiri kelahiran Adik sampai ke saat ini tak pernah berubah. Hanya mati yang akan pisahkan kasih sayang kita.

“Itu pun tak akan terpisah sebab kita akan jumpa balik di kehidupan akhirat yang hakiki InsyaAllah,”katanya.

Dalam pada itu, Norman juga meluahkan rasa sayangnya kepada suami Marissa, Aslam termasuk madu anaknya, Umisya.

“Papa sayang Adik, sayang Aslam dan sayang Umisya. Semua anak-anak papa juga. Ujian hidup kita berbeza.Doa papa buat kalian tak pernah putus.

“Allah hadirkan hujan, ribut dan taufan sebab Allah nak mengajar kita tentang bersyukur dalam tangis dan sujud semasa hadirnya pelangi nanti. Percaya dan yakin waktu itu akan tiba,”katanya.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya