Nak ubah kerajaan tunggu PRU - MB Perak - Utusan Malaysia

Nak ubah kerajaan tunggu PRU – MB Perak

SAARANI Mohamad berucap pada Program Townhall Wanita Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menjelang penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia 2.0 di Ipoh bermula esok, Menteri Besar Perak mahu konsep demokrasi dihormati dan menekankan kerajaan hanya boleh diubah melalui pilihan raya.

Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, menerusi sistem demokrasi diamalkan di Malaysia, semua pihak kena menunggu pilihan raya untuk mendapat kerajaan baharu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penganjuran itu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0, yang dilihat untuk menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka nak berhimpun itu urusan dia. Tapi saya nak nasihatkan kepada orang ramai, kita tidak boleh membudayakan Malaysia ini dengan mengubah kerajaan hanya kerana jeritan NGO. Tidak boleh.

“Kerajaan mesti diubah atau ditubuhkan berdasarkan kepada pilihan raya umum (PRU). Nak ubah, tunggu PRU,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Townhall Wanita Perak di sini hari ini.

Mengikut laman Facebook NGO tersebut, dua program utama akan dilangsungkan iaitu Ceramah Umum Selamatkan Malaysia pada Jumaat pukul 9 malam dan Himpunan Aman Selamatkan Malaysia pada hari Sabtu pukul 3 petang.

Kedua-dua progam itu akan berlangsung di dua tempat berbeza dalam kawasan Parlimen Tambun yang disandang oleh Anwar.

Menerusi petikan daripada akaun Facebook itu menyatakan, tema ‘Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’ merupakan tema yang membuka tirai Himpunan Selamatkan Malaysia 2.0 tahun ini.

“Tema ini dipilih kerana selepas 18 bulan menjadi Perdana Menteri ke-10, rakyat telah menilai prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan memutuskan pencapaian dan kesalahan beliau terhadap rakyat dan negara ini.

“Prestasi ini dinilai berdasarkan janji-janji yang telah dibuat serta pencapaian beliau dalam mentadbir negara ini,” menurut petikan daripada akaun media sosial NGO tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN