Nadeera dedah wujud gangguan semasa pertandingan nyanyian - Utusan Malaysia

Nadeera dedah wujud gangguan semasa pertandingan nyanyian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Nadeera, mendedahkan pernah mengalami gangguan mistik semasa menyertai sebuah pertandingan nyanyian.

Namun begitu, Nadeera atau Farah Nadeera Zaini, 31, tidak pasti sama ada perkara tersebut mempunyai kaitan dengan insiden ilmu hitam seperti yang dikongsikan penyanyi, Aisha Retno, baru-baru ini.

“Gangguan kecil seperti melihat kelibat semasa pertandingan itu saya pernah lalui. Tapi saya enggan mengambil serius mengenai perkara itu.

“Saya anggap sahaja badan terlalu penat membuatkan saya mungkin salah pandang ‘benda’ tidak sepatutnya.

“Namun begitu, saya sering mendengar perkara ini (ilmu hitam) dimomokkan dalam pertandingan. Saya elak bualkan perkara ini kerana takut jatuh fitnah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nadeera berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi kononnya terdapat penggiat seni yang menggunakan ilmu hitam untuk memenangi pertandingan.

Sementara itu, penyanyi Udara ini juga mengelak daripada menyebut mana-mana nama selain mengingatkan komitmen untuk terlibat dalam pertandingan nyanyian bukanlah perkara yang mudah.

“Bagi saya santau atau sihir bukan perkara mainan. Jika sakit, saya cuba berubat. Sembuh atau tidak, itu keizinan Allah.

“Sebagai hamba, saya lebih memilih untuk menjaga tutur bicara dan elak daripada menuduh mana-mana orang.

“Saya tidak pernah ada pengalaman disihir cuma saya boleh tegaskan pertandingan nyanyian memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang sangat kuat,” jelasnya.

Untuk rekod, Nadeera sudah beberapa kali terlibat menyertai pertandingan nyanyian sejak 2012 antaranya Vokal, Mentor Legend, Lagu Cinta Kita dan Big Stage musim kelima.

Terdahulu, penyanyi, Aisha Retno mendakwa terdapat peserta dalam pertandingan nyanyian, The Hardest Singing Show mengamalkan sihir untuk menjatuhkan peserta lain.

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, Aisha memberi bayangan pelaku tersebut pernah menjadi idolanya sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN