Mohd Na'im akan menghadap Agong bincang langkah kekang ajaran sesat

Mohd Na’im akan menghadap Agong bincang langkah kekang ajaran sesat

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap penyebaran kandungan ajaran sesat di negara ini.

Menurutnya, beliau menjunjung kasih titah Sultan Ibrahim agar tindakan penguatkuasaan dilakukan bagi mengekang kandungan ajaran sesat itu terutama yang disebar menerusi media sosial.

“Saya akan cuba menghadap Tuanku bagi mendapatkan titah terperinci mengenai perkara itu sebelum satu jawatankuasa dibentuk bagi mengekang isu itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Katanya, langkah penguatkuasaan ini penting kerana jika tidak dikekang lebih awal maka, mereka yang mengamalkan ajaran sesat ini akan lebih selesa menyebarkan ajaran itu.

Mohd Na’im berkata, Tuanku merasakan sudah tiba masanya tindakan penguatkuasa ini dilakukan segera sama ada oleh pihak berkuasa agama atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, beliau mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan perbincangan dengan jabatan agama Islam negeri dan bahagian penguatkuasaan negeri.

“Ia (perbincangan) penting supaya tindakan dan penguatkuasaan terhadap ajaran sesat ini dapat dilakukan secara bersama-sama,” katanya.

Berhubung cadangan penubuhan sebuah pusat rujukan agama seperti dititahkan Tuanku, Mohd Na’im berkata, beliau akan berbincang dengan Jakim mengenai perkara cadangan itu.

“Ketika ini, Jakim adalah agensi di peringkat Persekutuan yang berperanan menyelaras isu-isu berkaitan agama di negara ini.

“Memandangkan Tuanku sudah bertitah supaya tubuhkan satu pusat rujukan, kita akan lihat bagaimana pusat itu boleh dibentuk nanti,” katanya.

Pada masa sama, katanya, titah Sultan Ibrahim sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2024 hari ini sangat bertepatan dengan prinsip dan nilai Islam.

Katanya, antara titah itu termasuk meminta rakyat menjaga adab di media sosial termasuk tidak mengaibkan individu di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya