MOF beri keutamaan reformasi fiskal dalam Belanjawan 2025

MOF beri keutamaan reformasi fiskal dalam Belanjawan 2025

KEMENTERIAN KEWANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) akan terus memberi keutamaan terhadap reformasi fiskal dalam Belanjawan 2025.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu selari dengan sasaran jangka sederhana yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

“MOF juga akan memastikan dasar monetari kekal menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang diterajui oleh sektor swasta,” katanya dalam kenyataan susulan penerbitan Kenyataan Prabelanjawan (KPB) bagi Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober 2024.

Penerbitan KPB menepati amalan terbaik di peringkat global supaya dapat menggalakkan perbincangan awam mengenai Belanjawan Negara.

“Kerajaan mengalu-alukan cadangan rakyat dan komuniti perniagaan untuk Belanjawan 2025, khususnya langkah yang dapat mempercepat pencapaian hasrat Ekonomi Madani serta mempertingkatkan momentum pertumbuhan,” kata Amir Hamzah.

Menurut MOF, ekonomi negara telah melalui peningkatan pertumbuhan yang amat memberangsangkan, iaitu daripada 2.9 peratus (Suku Keempat 2023) kepada 4.2 peratus (Suku Pertama 2024).

Jelasnya, anggaran awal bagi Suku Kedua 2024 pula telah diunjur pada 5.8 peratus dengan faktor yang menggalakkan pertumbuhan ini termasuklah pemulihan eksport yang mengembang sebanyak 5.2 peratus (Suku Pertama 2024) berbanding penguncupan sebanyak 8.1 peratus pada tahun 2023.

“Pertumbuhan pelaburan swasta pula mengukuh kepada 9.2 peratus pada Suku Pertama 2024 berbanding 4.6 peratus pada Suku Pertama 2023,” katanya.

Menurut MOF, KPB menzahirkan tiga keutamaan jangka pendek di bawah Belanjawan 2025 bagi merealisasikan kerangka Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling (dari segi menstrukur semula ekonomi supaya lebih bernilai dan berdaya saing tinggi).

Selain itu ialah keutamaan menaikkan lantai (menambah baik mutu kehidupan rakyat dan keterangkuman peluang); dan memperkukuh tatakelola dan penyampaian perkhidmatan awam.

Lanjutan itu, KPB juga menetapkan tema Ekonomi Madani: Negara Makmur, Rakyat Sejahtera sebagai panduan kepada proses konsultasi bagi Belanjawan 2025.

“Selari dengan prinsip Madani, kerajaan komited untuk memastikan proses penggubalan Belanjawan 2025 adalah holistik dan terangkum dengan mengalu-alukan maklum balas daripada semua pihak.

“Proses penggubalan Belanjawan Negara bermula 9 Julai lalu dengan Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lebih 400 peserta mewakili pelbagai sektor hadir pada sesi libat urus tersebut,” katanya.

Ia akan disusuli dengan sesi-sesi libat urus di seluruh negara dalam masa terdekat.

Pada masa sama, orang awam boleh menghantar komen, maklum balas dan cadangan ke Portal Belanjawan 2025 di https://belanjawan.mof.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN