Modul pembelajaran yang dibangunkan oleh tenaga pakar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya membantu proses pembelajaran dan meningkatkan pencapaian murid anak Orang Asli di negeri Perak.
Modul itu dibangunkan apabila UPSI bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menjayakan program pembangunan insan empowerNCER Akademik@Perak kerjasama Jabatan
Pendidikan Negeri (JPN) Perak (JPNP), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Modul yang ditulis oleh Prof Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Dr. Seah Siok Peh serta Azila Alias dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) itu berkesan meningkatkan penguasaan pelajar anak Orang Asli terhadap pembelajaran.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, masalah dan cabaran pendidikan murid Orang Asli bukanlah perkara baharu, malah terdapat pelbagai kajian dilakukan akademia universiti untuk membantu mereka .
“UPSI sebagai sebuah universiti pendidikan yang menampilkan pelbagai teknik atau pedagogi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mempunyai kemudahan lengkap penyelidikan dalam bidang pendidikan,” katanya.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ) , Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata, modul yang membantu meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira itu ternyata berkesan dan membantu dalam memajukan pendidikan murid Orang Asli. – UTUSAN