MBPJ bantu golongan kurang mampu

MBPJ bantu golongan kurang mampu menerusi program PJ Prihatin

mbpj
Mohamad Zahri Samingon menyampaikan sumbangan menerusi program PJ Prihatin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan acara Sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya dengan menyampaikan sumbangan kepada 24 buah keluarga menerusi Program PJ Prihatin.

Untuk edisi ke-18 dengan tema “Petaling Jaya Bandar Paling Bahagia”, penganjuran program PJ Prihatin ini dilihat sebagai usaha, inisiatif dan keprihatinan MBPJ dalam menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada 24 buah keluarga yang kurang berkemampuan (golongan B40) yang berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Sesi lawatan ke kediaman penerima di sekitar Petaling Jaya ini diketuai oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon dan pada masa yang sama beliau turut menyerahkan sumbangan berupa wang tunai RM500 dan barangan keperluan kepada tiga buah keluarga yang terpilih.

Manakala sumbangan kepada baki penerima akan diserahkan bersama Ahli Majlis kawasan.

Turut hadir sam Penyelaras DUN Taman Medan, Halimi Abu Bakar, dan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan.

Bukan hanya terlantar seperti bayi, Cik Siti Nurazlin Natasya binti Mohd Azman yang kini menetap di Pangsapuri Petaling Perdana juga disahkan menghidap albino sejak lahir telah dipilih sebagai penerima sumbangan pertama.

Adik ini sering mengalami sawan akibat kecederaan pada saraf. Beliau juga merupakan penerima bantuan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) dan bantuan bekalan ubat sawan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penerima sumbangan kedua, Puan Nurul Patrul Hidayah Zulkifli dari Pangsapuri Desa Mentari 3 telah terlantar sejak tahun 2022 susulan komplikasi ketika hamil.

Datuk Bandar Petaling Jaya juga sempat menyantuni Norpahidah Mat Zaman, balu kepada Allahyarham Md Rizal mangsa korban yang terlibat dalam nahas pokok tumbang di Jalan Sultan
Ismail, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu.

Objektif penganjuran program ini bukan hanya sebagai usaha MBPJ menghulurkan sumbangan kepada golongan rentan, malah ia juga selaras dengan konsep 10 Program Berimpak Tinggi (10 thematic project) yang disusun oleh MBPJ dalam pelan pembangunan bandar yang memberi fokus kepada pembangunan golongan miskin bandar dan kesejahteraan komuniti disamping menonjolkan imej MBPJ sebagai sebuah Bandaraya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan @PJSSR2030 yang sentiasa prihatin dan mengambil tanggungjawab terhadap penduduk setempat.

Sebanyak 37 program telah diatur melibatkan pelbagai agensi sedia ada seperti jabatan-jabatan MBPJ dengan kerjasama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institusi Pendidikan, kewangan, kesihatan, pihak swasta dan komuniti setempat sepanjang bulan Jun.

Penganjuran program-program ini tertumpu di Laman MBPJ, Dataran Boulevard dan sekitar Pusat Bandar Seksyen 52. Pemilihan lokasi ini adalah selaras dengan hasrat MBPJ untuk menghidupkan semula persekitaran Pusat Bandar Seksyen 52 dan seterusnya mempergiatkan usaha mempromosikan Bandaraya Petaling Jaya sebagai sebuah “Kota Seni” di Negeri Selangor.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti sambutan ulang tahun, sila layari laman sesawang rasmi MBPJ di www.mbpj.gov.my atau kunjungi laman sosial rasmi Majlis (Facebook: @petalingjayacitycouncil, Twitter; Instagram: @pjcitycouncil). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN