Mawi hanya nyanyi, tidak tahu ada 'transformers' - Utusan Malaysia

Mawi hanya nyanyi, tidak tahu ada ‘transformers’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan penyampai radio, Mawi, hanya memenuhi undangan nyanyian tanpa mengetahui perincian persembahan sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024 pada Ahad lalu.

Dalam majlis itu, Mawi, atau Aswami Ani, 42, menyanyikan lagu Hambamu bersama penyanyi, Shahir Zawawi, yang turut diiringi penari dan robot filem Transformers.

“Saya dijemput untuk bernyanyi. Jadi saya cuma buat kerja iaitu hafal lagu dan buat persembahan.

“Perincian mengenai persembahan yang sudah dirancang oleh pihak penganjur saya tidak tahu,” katanya.

Mawi berkata demikian selepas persembahan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dengan tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ menjadi tular dan mendapat kritikan hebat warga maya.

Namun begitu, juara Akademi Fantasia musim ketiga itu berpendapat konsep persembahan Transformers mempunyai tarikan tersendiri khususnya kepada golongan kanak-kanak.

“Bagi saya tiada masalah kehadiran Transformers dan penari itu. Bagus juga kerana ada tarikan tersendiri. Budak-budak rasa nak tengok.

“Namun begitu, saya faham penerimaan orang ramai mungkin berbeza,” katanya.

Sebelum ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan persembahan tersebut adalah berdasarkan kepada metafora ayat al-Quran menekankan tentang Tafsir Ilmi Kejadian Langit dan Bumi.

Menurut Jakim, konsep persembahan itu menunjukkan keindahan cakerawala dihiasi galaksi dan sistem suria yang merupakan fenomena alam semesta yang menakjubkan.

“Konsep persembahan menunjukkan bahawa kemajuan perlulah berlandaskan al-Quran. Kemajuan yang tidak dilengkapi nilai agama akan menimbulkan kehancuran dan kemusnahan kepada alam.

“Pergerakan kemudiannya dikreasikan mengikut lirik lagu menggambarkan kejayaan. Dalam menuju arus kemodenan, jati diri tetap tidak dilupakan sebagai bekalan menghadapi cabaran semasa,” tulis mereka dalam satu kenyataan akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya