Malaysia rekod 49,992 kes Hepatitis B, cegah melalui imunisasi

Malaysia rekod 49,992 kes Hepatitis B, cegah melalui imunisasi

Malaysia rekod 49,992 kes Hepatatis B, cegah melalui imunisasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan 49,992 kes Hepatitis B yang dilaporkan bagi tempoh 10 tahun iaitu 2013 hingga 2023 lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, kadar insiden yang dilaporkan pada tahun 2022 adalah 16.02 per 100,000 penduduk serta kadar kematian 0.33 per 100,000 penduduk.

Katanya, jumlah keseluruhan kes Hepatitis C adalah 34,573 kes bagi tempoh sama dengan ladar insiden yang dilaporkan pada tahun 2022 adalah sebanyak 14.17 per 100,000 penduduk serta kadar kematian 0.29 per 100,000 penduduk.

Beliau berkata, berdasarkan Global Hepatitis Report 2024, dianggarkan pada tahun 2022 terdapat sebanyak 2.2 juta kes jangkitan baru viral hepatitis di dunia dengan jumlah kematian yang dilaporkan sebanyak 1.3 juta kes.

“Hepatitis B boleh dicegah melalui imunisasi. Program imunisasi Hepatitis B kepada bayi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan dimulakan semenjak tahun 1989.

“KKM menasihatkan ibu bapa untuk memastikan bayi mereka diberi imunisasi Hepatitis B yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya tercicir imunisasi, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat di klinik kesihatan yang berhampiran untuk penjadualan semula imunisasi, manakala untuk Hepatitis C pula, rawatan khusus kini boleh diberikan untuk menyembuhkan jangkitan.

Katanya, bersempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia, ia menekankan keperluan untuk berkolaborasi di dalam penyampaian perkhidmatan imunisasi, saringan, diagnosa, rawatan serta menggiatkan aktiviti advokasi di antara agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mencegah jangkitan Hepatitis.

Jelasnya, kolaborasi ini perlu diperkasakan bagi mencapai objektif untuk mengurangkan komplikasi penyakit Hepatitis dan seterusnya mengurangkan kematian.

“Hepatitis adalah penyakit keradangan hati yang lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus (viral hepatitis) iaitu Virus Hepatitis A, B, C, D atau E.

“Virus Hepatitis A dan E biasanya berjangkit melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar, dan tidak membawa kepada penyakit kronik. Manakala virus Hepatitis B, C dan D berjangkit melalui darah atau cecair badan dan boleh membawa kepada penyakit kronik yang merupakan punca utama kepada sirosis atau parut hati (liver cirrhosis) dan kanser hati,” katanya.

Katanya, KKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan hidup yang sihat dan amalan kebersihan diri untuk mengelakkan risiko mendapat jangkitan hepatitis atau risiko untuk menjangkiti orang lain bagi individu yang dijangkiti.

“Orang ramai terutamanya golongan yang berisiko adalah dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan hepatitis seterusnya mendapatkan nasihat dan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Pengesanan dan rawatan awal dapat mengelakkan komplikasi jangkitan seperti penyakit hati yang teruk dan kanser hati, dan seterusnya kematian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN