Malaysia gesa semua negara desak Israel hormat keputusan mahkamah, henti pendudukan haram di Palestin

Malaysia gesa semua negara desak Israel hormat keputusan mahkamah, henti pendudukan haram di Palestin

MOHAMAD Hasan, semasa Pendengaran Kenyataan Lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 22 Februari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan keputusan bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang memihak kepada Palestin semalam.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dengan majoriti yang amat besar, memutuskan bahawa pendudukan Israel yang berterusan di Wilayah Pendudukan Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan harus dihentikan serta merta.

Menurut Kementerian Luar, keputusan mahkamah ini mengesahkan hujah perundangan Malaysia yang diketengahkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, semasa Pendengaran Kenyataan Lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 22 Februari lalu.

“Malaysia menggesa semua negara supaya mendesak Israel menerima dan mematuhi keputusan mahkamah.

“Ini termasuk segera menghentikan segala sokongan kepada Israel daripada meneruskan pendudukan haram di bumi Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa itu disampaikan melalui Pendapat Nasihat berkaitan dengan Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin, termasuk Baitul Maqdis Timur.

Semua aktiviti pendudukan baharu harus ditamatkan dan segala kemusnahan diberi pampasan.

Wisma Putra berkata, keputusan mahkamah ini menegakkan hak mutlak rakyat Palestin dalam penentuan nasib sendiri.

Jelasny, tindakan dan dasar-dasar Israel didapati melanggar undang-undang antarabangsa.

“Mahkamah turut menekankan tanggungjawab bersama semua negara dan organisasi antarabangsa dalam menamatkan pendudukan haram Israel.

“Malaysia akan terus memperjuangkan pembentukan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan persempadanan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan supaya Negara Palestin diterima sebagai Anggota Penuh PBB.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN