Malaysia akan hantar bantuan ke Gaza melalui Jordan

Malaysia akan hantar bantuan ke Gaza melalui Jordan

MOHAMAD Hasan melihat pek makanan bantuan kemanusiaan selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Kemanusiaan untuk Palestin di Kementerian Luar Negeri di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR/PEMBERITA - HUSNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PUTRAJAYA: Sebarang penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Gaza, Palestin selepas ini hanya akan menggunakan Lintasan Jambatan Raja Hussein, Jordan dan ia satu-satunya laluan yang masih terbuka.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laluan itu sahaja yang masih ada susulan penutupan sempadan Rafah oleh tentera Israel pada awal Mei lalu.

Beliau berkata, Jordan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan pihak mereka juga sudah menghantar bantuan ke Gaza melalui lintasan berkenaan.

“Di pintu Rafah memang telah pun ditutup terus (oleh Israel). Sekarang ini ada satu-satunya pintu yang masih terbuka adalah melalui Lintasan Jambatan Raja Hussein daripada Jordan.

“Saya rasa elok kita buat (penghantaran) melalui Jordan kerana negara itu mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan mereka boleh menghantar (bantuan),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Kemanusiaan untuk Palestin, di sini hari ini.

Katanya, sebelum ini, Kerajaan Jordan telah menghantar bantuan sekitar 500 kontena setiap hari ke Gaza.

Mohamad berkata, kerajaan akan menjadi pengantara bagi menghubungkan Sekretariat Ops Ihsan (Malaysia) dengan pihak Jordan bagi proses penghantaran bantuan itu memandangkan hubungan baik negara dengan Jordan.

Menurutnya, setakat hari ini, Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) telah menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM98,828,028.83.

“Daripada jumlah itu, AAKRP telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM34,992,378.10 kepada pertubuhan antarabangsa di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia bagi kemudahan pembiayaan dan elaun sara hidup untuk pelajar-pelajar Palestin di Malaysia, NGO di bawah Ops Ihsan, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di Jordan, Mesir dan Palestin serta Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan bagi penyelenggaraan tahunan Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Katanya, kira-kira RM9 juta disalurkan bagi rawatan kanser pesakit Palestin, bekalan air bersih di Gaza, menaik taraf pengurusan sanitasi dan kebersihan air serta naik taraf peralatan perubatan.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dijadualkan September depan bakal menjadi pentas utama buat Malaysia dalam membela nasib Palestin dan mengutuk kekejaman rejim Israel.

Katanya, kerajaan akan membawa suara Malaysia dalam isu ini di segenap pentas antarabangsa yang ada.

“Kita mahu supaya resolusi Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), penghakiman sementara oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa itu dikuat kuasa dan rancangan tiga fasa gencatan senjata oleh Amerika Syarikat dan dua negara lain yang diterima semua pihak Zionis.

“Kita dikhabarkan pihak Hamas menerima rancangan ini tetapi ditolak Israel. Mereka sentiasa mencari alasan demi alasan untuk memanjangkan perang dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, sejak perang Israel-Palestin yang meletus pada 7 Oktober tahun lalu, lebih 37,800 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 86,800 yang lain cedera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya