PUTRAJAYA: Penubuhan Majlis Kebangsaan Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India Malaysia adalah antara tiga cadangan yang dikemukakan dalam pelan haja tuju baharu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kandasami berkata, majlis ini bertindak dalam membuat keputusan berhubung dasar dan peruntukan MITRA.
Beliau berkata, majlis ini juga akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keanggotaan ahli majlis pula akan diputuskan di dalam terma rujukan yang akan dibangunkan oleh MITRA.
“Selain itu, pelan hala tuju sama turut mencadangkan pewujudan akaun amanah MITRA bertujuan membolehkan baki peruntukan yang tidak dibelanjakan pada tahun semasa diselaraskan ke dalam akaun tersebut.
“Manakala, cadangan ketiga adalah menyusun semula struktur organisasi MITRA bagi menjamin perkhidmatan yang lebih efisien dalam membangunkan sosio-ekonomi B40 masyarakat India di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, laporan akhir pelan hala tuju MITRA itu telah pun diserahkan kepada Perdana Menteri pada 17 Julai lalu untuk pertimbangan.
Menurutnya, pelan hala tuju itu dibangunkan bertujuan menyelaras semula matlamat MITRA sekali gus membantu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini.
“Kementerian Perpaduan telah melantik PEMANDU Associates Sdn Bhd sebagai perunding bagi membantu MITRA membangunkan kajian untuk merangka pelan hala tuju itu.
“Tempoh pelaksanaan kajian adalah selama 16 minggu bermula 7 Mac hingga 6 Julai lalu. Kajian itu termasuk soal selidik awam, bengkel dan lihat urus sebelum pelan hala tuju dibentuk,” katanya.
Katanya, kajian sama turut menemui beberapa dapatan yang menyumbang kepada jurang sosioekonomi masyarakat India merangkumi aspek ekonomi, cabaran pendidikan dan sosial.
Jelasnya lagi, empat teras utama digariskan dan diberi keutamaan bagi merealisasikan Pembangunan sosioekonomi masyarakat India termasuk pembangunan modal insan; pembangunan keusahawanan dan kerjaya; kebajikan sosial, kerohanian dan pembangunan komuniti serta tadbir urus, pengurusan projek, teknologi dan Komunikasi.
MITRA sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) namun, dikembalikan semula kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada April lalu. – UTUSAN