Mahu tergelak panggil bekas suami ‘sayang’ - Elly Ariffin

Mahu tergelak panggil bekas suami ‘sayang’ – Elly Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Diam tak diam, sudah empat tahun juga episod perceraian antara pelakon dan pengacara, Elly Ariffin dan bekas suaminya, pelawak, Jiggy.

Dalam tempoh tersebut, bohong jika tidak ada yang masih tertanya-tanya sejauh mana profesionalnya mereka berdua andai diberi tanggungjawab untuk berlakon atau mengacara bersama.

Bohong juga jika tidak ada kalangan warganet yang mempertikai sejauh mana Elly benar-benar sudah ‘move on’ meninggalkan cinta lamanya itu yang kini sudah pun bergelar suami kepada atlet penerjun negara, Dhabitah Sabri.

Takdir tidak pernah salah alamat kerana ternyata, ‘jodoh’ Elly dan Jiggy masih lagi ada dan ini diterjemahkan menerusi kerjasama mereka di pentas anak seni.

Terlibat sama dalam sitkom siaran TV2 berjudul Apartmen Putra musim baharu, Elly berkata, dia dan Jiggy disatukan dalam naskhah arahan Zarool Fahmee Khairuddin dan Rohayu A.W itu yang turut menyaksikan mereka memegang watak sebagai pasangan tunang.

Mengakui kekok juga pada awalnya, kata Elly, dia dan Jiggy bagaimanapun mencuba mencari semula keserasian itu atas dasar tanggungjawab yang diamanahkan.

“Terus-terang ketika menerima tawaran untuk berlakon dalam sitkom ini, saya tidak tahu pun dengan siapa saya akan bergandingan. Bila dah dekat tarikh nak masuk set penggambaran, salah seorang pelakon iaitu Eric Fuzi ada hubungi saya.

“Dia tanya saya kenapa tak beritahu terlibat sama dalam sitkom ini? Saya terkejutlah rupanya bakal masuk set dengan kawan-kawan lain. Termasuklah Jiggy.

“Tak dinafikan, pada awalnya penerbit risau jika saya akan undur diri andai tahu akan berlakon bersama Jiggy. Walhal, sama ada saya atau Jiggy, masing-masing okey sahaja, tak ada masalah,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi baru-baru ini.

Melucukan

Selain itu, kongsi bekas pengacara program HLive ini, apa yang melucukan, bergelar ‘tunangan’ orang dalam sitkom ini tentunya memerlukan dia memanggil bekas suaminya itu dengan panggilan-panggilan manja misalnya ‘sayang’.

“Masa sesi baca skrip baru saya tahu kena berlakon sebagai tunang kepada Jiggy dalam sitkom ini. Kekok juga sebab kami bukan lagi suami isteri dan nak gelar diri masing-masing dengan panggilan manja itu rasa nak tergelak juga.

“Penerbit kata kami kena berlakon biar nampak romantik. Nak tak nak kena ‘selongkar’ semulalah kenangan masa bercinta dulu. Untungnya kami ini masih berkawan meskipun sudah bukan lagi suami isteri.

“Jadi dah kenal perangai masing-masing, dah masak sangat dah,”katanya tertawa.

Tambah Elly lagi, sebagai seorang yang profesional, dia sedar akan batas tertentu jika berlakon dengan mana-mana pasangan yang sudah berstatus suami orang.

“Keadaan tak sama dengan sebelum Jiggy berkahwin. Dia kini pun sudah berstatus suami orang jadi tak adalah kami nak lebih-lebih berlakon meskipun kena bawa watak tunang. Kami tahu batasnya dan saya sendiri menghormati isterinya.

“Sebab itulah bila kena panggil Jiggy dengan panggilan ‘sayang’ kami berdua rasa nak tergelak. Ini sebab kerja tahu, bukan nak menggatal ya!

“Kalau nak tahu, sebelum berlakon, saya ada minta Jiggy supaya maklumkan pada isterinya mengenai watak kami ini. Iyalah, kita mahu mengelak isterinya berasa tersinggung atau tidak selesa sedangkan kami cuma berlakon sahaja,”katanya.

Usah salah faham

Dalam pada itu, Elly sempat meluahkan rasa selain berharap agar tiada pihak membuat spekulasi rambang mengenai hubungan baiknya dengan bekas suami.

Ini kerana, kata Elly, dia sedar masih ada yang gemar bercakap-cakap belakang dan mendakwa dirinya masih belum benar-benar dapat melupakan bekas suaminya itu.

“Ada saja orang yang cakap belakang dan mempertikai tentang kehidupan percintaan saya. Ada yang dakwa saya ini tak boleh ‘move on’ lah dengan bekas suami walau dia sudah berkahwin dan macam-macam lagi.

“Ingin saya jelaskan di sini, saya sudah lama melepaskan segala hal lama. Ia sudah berlalu dan saya cuma mahu menuju ke hadapan. Ini memang saya benar-benar memaksudkannya.
“Saya harap tak ada lagi yang salah faham dan hadir dengan spekulasi tidak benar mengenai perkara ini. Saya kena jelaskan hal ini bagi memudahkan saya bekerjasama dengan bekas suami di pentas seni.

“Walaupun kami tidak berjodohan sebagai suami isteri, tetapi nak buat macam mana kami dijodohkan sebagai rakan sekerja. Kami okey dan tak bergaduh pun. Bercerai dahulu pun secara baik,”katanya.

Memasuki musim keenam dan ketujuh, sitkom ini mengekalkan pelakon Atu Zero, Eric Fuzi, dan Noorkhiriah, selain menyaksikan kemunculan watak-watak baharu dibawakan oleh pelakon Mamak Puteh, Jiggy Masin, Dewa Sapri, Zulin Aziz, Elly Arifin, dan Kenchana Devi.

Dirakamkan di Studio M1, Angkasapuri, Kuala Lumpur, sitkom ini juga turut diserikan dengan kemunculan artis jemputan pada setiap minggu.

Antara artis terlibat termasuk Azhan Rani, Yasmin Hani, Nazeera Sardi, Datuk Fazley Yaakob, Faradhiya, Dr Soo Wincci, Ridzokumura, Adam Corrie, Noreen Iman, Mark Adam dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN