KLANG: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang melibatkan 20 stesen bagi laluan Bandar Utama hingga ke Johan Setia di sini, alami kelewatan dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun hadapan.
Kelewatan tersebut berlaku berikutan terdapat pelaksanaan pengintegerasian sistem dan ujian tren yang memakan masa perlu dilakukan sebelum ia boleh dibuka kepada umum selain kerja-kerja tergendala akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, namun begitu keseluruhan projek pembinaan kemudahan pengangkutan awam itu sudah mencapai 95.6 peratus dan kerja fizikalnya dijangka siap pada Oktober ini.
Menurutnya, menjelang suku terakhir tahun ini pengintegerasian sistem akan dilakukan dan mengambil masa selama beberapa bulan sebelum ujian dilakukan serta dibuka kepada umum.
“Namun begitu, pihak prasarana bersama dengan kontraktor dan semua pihak terlibat dalam projek ini berusaha untuk mengejar kembali masa yang terlewat dan kita berjaya mengurangkan kelewatan itu dan dijangkakan ia dapat bermula pada suku ketiga, bulan Ogos atau September tahun hadapan.
“Jadi, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk pastikan ia dapat dilaksanakan dan mula beroperasi menjelang suku ketiga tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan pembinaan LRT3 di Stesen Pasar Jawa, hari ini.
Sebelum ini, LRT3 bagi jajaran Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang yang menelan belanja sehingga RM16 bilion dilaporkan dijangka mula beroperasi pada 1 Mac 2025.
Pembinaan pengangkutan awam yang menghubungkan kawasan Pantai Barat Lembah Klang itu kini dilaporkan siap 86 peratus, namun jangkaan mula operasinya lewat setahun berbanding tarikh asal 28 Februari 2024.
Dalam pada itu, Anthony Loke memberitahu, pembinaan LRT3 dikembalikan kepada skop asal seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024, tahun lalu.
Katanya, skop asal tersebut termasuklah pembinaan lima stesen yang dicadangkan sebelum ini iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik serta tambahan keperluan lain seperti pembelian tujuh set tren tiga gerabak, 150 bas pengantara elektrik serta dua depohnya yang menelan belanja RM3.8 bilion.
“Jadi, keseluruhan tambahan kos yang diperlukan adalah RM3.8 bilion. Saya hendak tekankan jumlah itu bukan untuk lima stesen LRT itu sahaja.
“Kita rasakan ada keperluan supaya meletakkan semula skop itu supaya pengintegerasian dengan first mile dan last mile itu kita dapat tambah baik. Iaitu kalau tidak ada bas pengantara di kawasan-kawasan kunjungan ramai dengan stesen LRT maka kita tak ada sambungan first mile dan last mile,” jelasnya.
Tambahnya lagi, apabila kemudahan LRT3 siap dengan pengoperasian bas pengantara, ia dijangka mampu membawa lebih 300,000 penumpang sehari. – UTUSAN