LKAN: PM mahu isu tatakelola diberi perhatian

LKAN: PM mahu isu tatakelola diberi perhatian

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu aspek tatakelola dan kebertanggungjawaban terus diberi perhatian susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 semalam.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, peringatan itu disuarakan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri juga mahu semua kementerian, jabatan serta agensi kerajaan mengambil perhatian serius mengenai teguran LKAN itu.

“Perkara ini (teguran LKAN) juga secara umumnya terpulang kepada menteri masing-masing yang berhubung dengan mana-mana institusi, agensi dan jabatan yang diaudit untuk mengambil tindakan susulan.

“Tetapi yang menjadi keutamaan Perdana Menteri adalah isu tatakelola dan aspek kebertanggungjawaban dalam isu seperti yang telah dibangkitkan dalam (laporan) audit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi mengesahkan LKAN 2/2024 akan dibahaskan oleh ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada awal minggu depan.

“Kita akan beri ruang kepada Ahli Parlimen untuk berbahas mengenai perkara itu dan kerajaan akan mendengar pandangan mereka dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita berikan ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti dan membahaskan serta menteri-menteri untuk menjawab, itulah prosesnya.

“Pada masa sama, sekiranya pihak Jabatan Audit Negara berpandangan terdapat apa-apa perkara yang perlu dipanjangkan atau dibawa perhatian badan penguatkuasaan seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), itu tidak ada halangan,” katanya.

LKAN 2/2024 antaranya melaporkan sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan diaudit berjumlah RM41.97 bilion dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Ia melibatkan pengauditan mengenai aktiviti kementerian atau jabatan Kerajaan Persekutuan serta badan-badan berkanun Persekutuan, dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.

Beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi mahupun prosedur kerja disebut dalam laporan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya