PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengarahkan segala penemuan dalam laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan HRD Corp dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menterinya, Steven Sim menegaskan, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD CORP, Datuk Wira Shahul Dawood untuk berbuat demikian sejajar syor Ketua Audit Negara.
“Proses pengauditan tersebut adalah terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023.
“Saya telah dimaklumkan tentang proses pengauditan oleh kedua-dua badan ini ketika saya mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember 2023, lantas mengarahkan Kesuma dan HRD CORP (PSMB) untuk memberikan kerjasama penuh kepada JAN dan PAC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Steven, dalam masa enam bulan ini, Kesuma telah memulakan proses rekayasa (reengineering) merentasi seluruh kementerian, untuk memastikan tatakelola yang baik dan proses cekap di seluruh kementerian dan agensinya.
Katanya, ia bermatlamat untuk memastikan Kesuma mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tertinggi.
“Rekayasa Kesuma di peringkat HRD CORP telah dilaksanakan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC tidak akan berulang.
“Kesuma tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut. Kesuma tidak akan berkompromi dengan tindakan[1]tindakan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Dalam laporan JAN semelam, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti termasuk salah urus ratusan juta ringgit melibatkan geran latihan, pelaburan dan pembelian hartanah.
Secara keseluruhannya amalan tadbir urus korporat HRD Corp adalah tidak memuaskan dan terdapat tindakan dan keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan Syarikat. – UTUSAN