UNITED KINGDOM: Penyanyi, Sam Smith masih terkesan selepas terlibat dalam kemalangan ketika melakukan aktiviti luncur ais, awal tahun ini.
Smith yang berusia 32 tahun memaklumkan, dia menyesal kerana bersikap leka dan tidak berhati-hati ketika melakukan aktiviti ekstrim itu Januari lepas.
“Saya akui saya bertindak tidak bijak kerana membahayakan diri dengan meluncur di kawasan curam. Disebabkannya, saya alami kemalangan sehingga mengakibatkan ligamen kaki saya koyak.
“Saya, pada waktu kejadian terpaksa dibawa turun dengan menggunakan beg darah. Ia adalah pengalaman mengerikan,” katanya dalam sebuah podcast yang bersiaran, baru-baru ini.
Smith pada Januari lalu mencetuskan kerisauan dalam kalangan peminatnya selepas dirakam berjalan dengan menggunakan alat sokongan kaki dan bertongkat.
Penyanyi lagu Unholy itu turut menceritakan tentang proses pemulihannya yang berlanjutan selama sebulan.
“Saya memutuskan untuk tidak melakukan pembedahan walaupun kecederaan ini terlalu teruk sehingga membuatkan saya berjalan dalam keadaan tempang selama sebulan.
“Buat pertama kalinya, saya merasakan pengalaman tidak dapat berjalan secara normal. Badan saya yang agak berat pula menyukarkan keadaan, sekaligus menambah kerisauan saya,” katanya.