KLANG: Kerajaan akan mengumumkan keputusan pelaksanaan menaik taraf lesen motosikal Kelas B2 kepada B penuh secara automatik tidak lama lagi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan sudah pun dibuat berhubung cadangan pernah disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Nanti saya akan umumkan, sudah ada keputusan (B2 kepada B penuh). Tetapi saya akan umumkan hari kemudian bukan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Stesen Pasar Jawa, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid Hamid dilaporkan mencadangkan penaiktarafan lesen memandu motosikal kelas B2 kepada B secara automatik dibawa kepada Kementerian Pengangkutan untuk diteliti terlebih dahulu.
Ahmad Zahid menyatakan tiada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
Justeru, antara mekanisme yang dipertimbangkan adalah tempoh masa memiliki lesen B2 dan had umur yang dibenarkan untuk berbuat demikian. – UTUSAN