PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyaring jumlah pelajar cemerlang 10A yang sudah membuat permohonan ke program matrikulasi di bawah kementerian itu.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melaksanakan saringan berkenaan termasuk permohonan program-program yang dibuat melalui UPUOnline®️ oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA).
Katanya, ini bagi membolehkan mereka yang tidak ditawarkan tempat dapat diselaras semula tawaran berdasarkan kepada pilihan program pelajar.
Tawaran tempat dan jurusan adalah bergantung kepada kelayakan calon dan kekosongan Program Matrikulasi KPM, manakala KPT akan fokus kepada kemasukan program-program asasi dan diploma di Universiti Awam.
“Ketetapan ini dibuat bagi memastikan pelajar cemerlang SPM dan daripada keluarga B40 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian,” katanya hari ini.
KPM berkata, pihaknya menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi tempat kepada pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memohon untuk melanjutkan pengajian akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang,
Pada masa sama, kata KPM, sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas.
“Kerajaan Madani komited memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar yang merupakan asset masa hadapan negara,” katanya. – UTUSAN