Klinik estetik guna doktor palsu, KKM perlu bertindak

Klinik estetik guna doktor palsu, KKM perlu bertindak

HISHAMUDDIN Hashim bersama mangsa dikenali Alice tampil menyerahkan surat aduan kepada KKM di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa mengambil tindakan segera ke atas premis di ibu negara yang dipercayai menawarkan perkhidmatan estetik tanpa lesen sehingga menyebabkan seorang mangsa menanggung derita kesakitan selepas menjalani pembedahan membesarkan payudara.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes yang menimpa mangsa terbabit berlarutan selama dua tahun dan sehingga kini masih tiada tindakan lanjut daripada pihak bertanggungjawab.

“MHO membantu mangsa membuat laporan kepada pihak polis, memanjangkan aduan kepada KKM, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan CKAPS (Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta) agar tindakan dapat dikenakan ke atas premis tersebut.

“Kami tidak mempunyai pilihan selain tampil ke KKM untuk merujuk kes ini kepada Menteri Kesihatan supaya siasatan dan tindakan pendakwaan dapat diambil terhadap pengamal perubatan palsu yang juga warga asing.

“Doktor palsu itu secara terang-terangan menjalankan aktiviti yang sepatutnya dijalankan oleh pengamal perubatan berlesen sahaja,” katanya kepada pemberita di pekarangan KKM, di sini hari ini.

Beliau mengiringi mangsa dikenali sebagai Alice menyerahkan surat aduan kepada KKM yang diterima oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Kesihatan, N Balasundaram.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, pihaknya turut mendapati premis tersebut masih menjalankan operasi seperti biasa sehingga kini walaupun aduan demi aduan dibuat kepada pelbagai pihak.

“Kita minta satu tindakan dikenakan terhadap doktor palsu itu bagi mengelak ramai lagi individu lain yang terkesan selepas menerima perkhidmatan di premis terbabit,” ujarnya.

Mangsa yang berusia 33 tahun itu mendedahkan, pembedahan tersebut bukan sahaja tidak berjaya seperti diinginkan, malah dirinya turut menanggung kerugian dari segi wang ringgit.

Jelas Alice yang bekerja sebagai pendandan rambut, dia menjalani pembedahan implan payudara itu pada Jun 2022 selepas melihat paparan iklan di media sosial.

“Saya sangat kecewa kerana pembedahan itu tidak menjadi seperti diharapkan dan tidak sempurna. Pada masa sama, bahagian itu juga masih terasa sakit sehingga kini,” katanya yang berharap suatu tindakan tegas dapat dikenakan terhadap pengamal perubatan palsu itu.

Pada 14 Mei lalu, media melaporkan seorang lelaki berperwatakan wanita terpaksa menahan sakit selama dua tahun selepas pembedahan membesarkan payudara tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Ini selepas semakan mendapati doktor yang diupah sebanyak RM23,400 adalah palsu yang tidak mendapat tauliah daripada pihak berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya