KKM buka pengambilan 3,950 pegawai perubatan, pergigian, farmasi

KKM buka pengambilan 3,950 pegawai perubatan, pergigian, farmasi

KKM akan membuat pengambilan sebanyak 3,950 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat pengambilan sebanyak 3,950 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi menerusi lantikan kontrak (interim).

KKM dalam kenyataan memaklumkan, mana-mana calon berkelayakan boleh memohon pelantikan menerusi iklan yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 18 hingga 31 Julai ini.

Menurutnya, jumlah ambilan itu meliputi 3,200 pegawai perubatan, 350 pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi serta baki calon yang memenuhi syarat lantikan mengikut skim perkhidmatan akan dijadikan sebagai calon simpanan.

“Tawaran ini terbuka kepada calon yang dilantik kontrak mengikut Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016 sama ada sedang berkhidmat atau tidak lagi berkhidmat di Kementerian Kesihatan.

“Iklan pengambilan SPA ini selari dengan keputusan kerajaan berhubung pelantikan secara kontrak (interim) mulai 1 Februari lalu hingga suatu kaedah lantikan tetap baharu diperkenalkan,” katanya hari ini.

KKM berkata, kategori calon yang layak memohon adalah seperti calon sedang berkhidmat di KKM atau telah telah berkhidmat hingga tempoh maksimum kontrak tujuh tahun bagi pegawai perubatan dan maksimum lima tahun bagi pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Kategori lain ialah calon yang ditamatkan perkhidmatan bukan disebabkan kesalahan tatatertib atau calon menolak tawaran penyambungan kontrak baharu.

“(Ini termasuk) calon menolak tawaran pelantikan tetap atau calon yang meletak jawatan,” katanya.

“Selain itu, calon yang memohon hendaklah telah menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib serta mempunyai perakuan pendaftaran penuh,” katanya.

Calon yang berminat dan layak disarankan untuk membuat permohonan menerusi portal SPA9 iaitu https://spa9.spa.gov.my dan mengisi kesemua maklumat yang diperlukan dengan lengkap dan betul sebelum atau pada tarikh tutup iklan.

Katanya, pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang dilantik secara kontrak (interim) ini berpeluang untuk dilantik secara tetap tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN