KKM arah henti serta-merta jual aiskrim campur ubat batuk

KKM arah henti serta-merta jual aiskrim campur ubat batuk

PRODUK aiskrim dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan semua premis yang menjual produk ais krim dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) dihentikan serta-merta.

Pada masa sama, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut.

KKM berkata, arahan itu bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai sebagaimana Akta Makanan 1983 di bawah Seksyen 13B (2) yang tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan.

“Pihak industri makanan diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi akta tersebut dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan pemasaran dan melariskan jualan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah membuat semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan mendapati bahawa aiskrim tersebut disediakan bersama picagari berisi ubat batuk Pei Pa Koa.

Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) adalah produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, di bawah kategori Tradisional, dengan nombor pendaftaran MAL06061564T.

Produk itu digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

Sebarang penjualan apa-apa makanan yang diadukkan adalah satu kesalahan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

KKM berkata, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat,” katanya.

Pengguna juga boleh melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) di http://moh.spab.gov.my atau https://www.facebook.com/bkkmhq – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya