Kerap hadir majlis ilmu punca Nora Danish bertudung

Kerap hadir majlis ilmu punca Nora Danish bertudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh media sosial, Nora Danish, 42, tidak menolak rutin menghadiri majlis ilmu sejak Mei tahun lalu telah membuka pintu hatinya untuk nekad berhijab.

Menurut Nora, hasrat untuk mengenakan hijab sudah tercetus sejak mencecah usia 40 tahun namun mengakui ketika itu masih berbolak balik.

“Rakan baik saya, Betty Rahmad kerap menganjurkan majlis ilmu di kediamannya dan saya biasanya sebulan sekali akan ikuti jika tiada urusan lain. Tetapi apabila pulang saya kadangkala malu terhadap diri sendiri kerana masih tidak berubah walaupun kerap mendengar ceramah agama.

“Perkara itu sedikit sebanyak menjadi penyebab untuk saya melakukan perubahan ini,”katanya ketika ditemui pada sidang media drama rantaian Perang Nasi Dagang di sini, hari ini.

Selain itu, Nora berkata, penghijrahannya membuatkan ibunya, Salimah Talib, yang menangis dalam kesyukuran selain memintanya untuk terus kekal istiqamah.

“Ramai yang mendoakan perkara ini sebelum ini tetapi saya belum bersedia nak berikan komen. Ini kerana saya ini pun masih baharu dan bimbang dituduh riak.

“Saya pun masih belajar dan perlahan-lahan untuk menjadi muslimah lebih baik. Saya sedang cuba kerapkan diri untuk hadirkan diri ke majlis agama untuk dapatkan ilmu.

“Ibu adalah orang pertama yang terkejut dan menitiskan air mata apabila melihat perubahan ini,”katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai reaksi bekas suaminya, Nedim Nadzri, Nora berkata, lelaki tersebut turut terkejut dan memuji langkah baiknya ini.

“Saya memakai tudung pada hari selepas dia masuk wad di sebuah hospital baru-baru ini. Sudah tentu dia pun gembira malah dia turut memuji saya kelihatan cantik mengenakan tudung.

“Pada masa sama, saya ada juga terfikir semua yang berlaku ini adalah satu dugaan untuk saya terutama ketika diuji bekas suami sedang sakit.

“Jadi saya ambil hikmah ini dan nekad untuk berubah,”katanya.

Sebelum ini, penampilan Nora yang bertudung di laman sosial telah mencetuskan tanda tanya ramai sama ada ia imej kekal atau hanya ke majlis ilmu.

Malah, Nora juga lebih selesa untuk tidak menjelaskan mengenai perkara itu meskipun sedar ramai mendoakan perubahan baiknya itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN