Kerajaan sedia bincang pinda Akta Parti Lompat Parti

Kerajaan sedia bincang pinda Akta Anti Lompat Parti

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai selepas hadir menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah Presint 9, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia berbincang untuk meminda Akta Anti Lompat Parti (Akta A1663) bagi menutup lompang yang wujud dalam akta berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengakui wujud kelompangan berkaitan akta berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya (Pakatan Harapan) pada 2022 pernah mencadangkan supaya mana-mana yang dipecat dari parti supaya mengosongkan kerusi.

“Dulu (2022 ketika di blok pembangkang), kita (PH) cadanag supaya mana-mana yang ditolak oleh parti ditolak (kosongkan kerusi) tapi tidak disetuju oleh kerajaan masa itu.

“Sebab dia (pembangkang) masa itu, orang UMNO masuk parti dia. jadi, bagi saya kalau nak pinda boleh kita bincang. Dulu dia menentang dan ramai tak tahu.

“kalau dia (pembangkang) nak pinda, kita boleh bincang. Boleh pinda,” katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah, Presint 9, di sini hari ini.

Katanya, ketika di blok pembangkang dahulu, PH pernah mengusulkan supaya siapa sahaja ditolak oleh parti secara automatiknya digugur (kosongkan Parlimen) namun, ditolak oleh kerajaan ketika itu.

Baru-baru ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan untuk tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

Enam Ahli Dewan Rakyat itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu dilaporkan berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dan ia jelas bercanggah dengan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan alasan dikemukakan Johari dangkal dan tafsiran dibuat songsang sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.

Bersatu menerima surat bertarikh 9 Julai 2024 daripada Johari yang menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas Ahli Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya