Kerajaan laksana kajian pemerbadanan Jabatan Insolvensi

Kerajaan laksana kajian pemerbadanan Jabatan Insolvensi

AZALINA Othman Said ketika dalam majlis perasmian sambutan 100 tahun Jabatan Insolvensi di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan pemerbadanan Jabatan Insolvensi selaras konsep ‘amalan terbaik global’ melalui perbandingan dengan negara lain dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian itu turut mengambil kira pandangan pakar insolvensi rentas sempadan selain pakar dalam dan luar negara serta pandangan rakyat umum.

“Secara tidak langsung, usaha itu dapat menggalakkan pengaliran wang serta pertumbuhan ekonomi, sekali gus menarik pelaburan kewangan dan perdagangan antarabangsa ke Malaysia,” katanya pada Majlis Perasmian 100 Tahun Jabatan Insolvensi Malaysia yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Azalina berkata, agenda Dasar Peluang Kedua yang diumumkan itu diperluaskan kepada golongan bankrap untuk memberikan peluang mereka kembali menyumbang kepada ekonomi dan menjalani kehidupan baharu.

“Ia menyasarkan pelepasan seramai 130,000 orang yang diisytiharkan bankrap hingga tempoh masa satu tahun selepas Akta A1695 berkuat kuasa.

“Komitmen kerajaan dalam roll-out ini adalah bagi memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” jelasnya.

Susulan itu, katanya, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi telah mempertingkatkan jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta khususnya bersama Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia (iPAM) bagi memperkasa hal itu.

“Selaras dengan arus pemodenan teknologi dan trend masa kini, pembangunan sistem pendigitalan turut memainkan peranan penting dalam memodenkan pelaksanaan operasi.

“Jadi, dalam memacu daya saing untuk pertumbuhan mampan, kerajaan telah mengambil langkah untuk mempertingkatkan penerimagunaan teknologi dan pendigitalan melalui pembangunan Enterprise Architecture (EA),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN