PELAKON, Farah Ahmad baru-baru ini ‘meletup’ di media sosial gara-gara kenyataan seorang pekerja industri seni yang menganggap pelakon teater bukan selebriti, justeru tidak perlu dibayar tinggi.
Farah, menulis panjang lebar di media sosial, mengkritik individu terbabit yang ibarat membuat kenyataan tidak pakai otak.
Saya pasti bukan Farah seorang sahaja yang berang, tentu ramai lagi pelakon lain yang turut sakit hati.
Saya dapatkan Farah ketika majlis pra tonton dan sidang akhbar drama X-Change dua hari lepas. Kebetulan dia juga merupakan pelakon drama Astro Original itu.
Kata pelakon berbakat besar ini, dia kecewa kerana adanya orang satu industri yang berfikiran sedemikian. Tidakkah individu berkenaan sedar, masalah bayaran tidak setimpal ini terlalu sensitif dan menjadi barah yang sudah lama merebak.
“Katanya kenapa bayar mahal, mereka sekadar pelakon teater sahaja, bukan selebriti. Saya sedih, yang berkata itu orang produksi, yang bertugas di bahagian pengurusan. Perkara ini disampaikan kepada saya oleh kawan saya sendiri.
“Inilah masalah dunia drama dan filem. Ramai yang hadap perkara ini, termasuk mereka yang ada ijazah seni lakon di Institut Pengajian Tinggi.
“Saya sedih dan saya bertambah kecewa. Kenapa ada orang industri sendiri yang saling menjatuhkan? Inilah sebabnya pelakon susah nak jadi kaya. Dan ramai juga yang saya kenal sudah pun angkat kaki beralih bidang,” katanya.
POPULARITI TETAP DIPANDANG
Mengulas lanjut, kata Farah realiti dunia lakonan tidak semua indah. Ada pelakon terpaksa makan hati dengan bayaran rendah yang mereka terima walau pun berbakat dan berpendidikan.
Semua ini disebabkan industri seni yang terlalu memandang rupa paras dan populariti.
“Realitinya, industri seni kita mengangkat rupa paras dan populariti. Keadaan ini mempengaruhi bayaran pelakon.
“Ada pelakon, berpengalaman dan ada pendidikan dalam bidang berkaitan tapi dibayar lebih rendah daripada pelakon baharu yang diambil sebab popular.
“Pernah seorang rakan, diberi watak sampingan berdialog tapi dibayar RM100 satu hari sebab dia bukan pelakon ada nama. Tak akanlah serendah itu bayarannya. Dia bukan pelakon ekstra, sebaliknya berwatak dan berdialog.
“Keadaan ini semakin membuka mata. Saya sangat kecewa. Isu bayaran ini bukan baru berlaku semalam,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu Farah juga terkilan dengan sistem bayaran pelakon di Malaysia yang tiada ketentuan.
Lebih mengelirukan lagi apabila setiap produksi menggunakan kaedah bayaran berbeza untuk projek filem atau drama mereka.
“Saya hairan, apa kaedah yang digunapakai untuk bayaran pelakon di Malaysia. Ada yang bayar ikut babak, ada yang ikut hari dan episod juga ada.
“Inilah masalahnya bila industri seni tak laksanakan tangga gaji (rate card). Industri kita sudah berkembang, tak akanlah cara bayaran masih bercelaru,” ujarnya.
Kata Farah, sukar untuk mengubah kebiasaan dunia drama dan perfileman di Malaysia yang lebih kedepankan pelakon yang lebih popular berbanding yang berbakat dan berkebolehan.
Justeru kata Farah, pelakon di Malaysia perlu berpijak di bumi yang nyata. Binalah secebis populariti untuk mendapat tempat.
“Mahu atau tidak kita kena bermain di gelanggangnya. Di Malaysia, sebaik mana pun kemahiran lakonan kita, populariti tetap menjadi perkara utama. Jadi mahu atau tidak, binalah populariti, sedikit pun tidak mengapa.
“Jangan seperti saya. Orang kata saya underrated. Saya akuinya sebab saya tak tahu macam mana nak popularkan diri saya. Bukan jalal itu yang saya pilih.
“Kontroversi? Lagilah bukan saya. Saya tak mahu dikenali sebab cerita sensasi. Ini bukan sebab nak menjaga nama baik, kerana kita buat baik sekali pun orang tetap umpat dan bercakap belakang kita.
“Saya cuma tidak mahu dikenali dengan kontroversi. Titik. Saya pelakon, harap orang pandang lakonan saya,” jelasnya.