Kemiskinan hidup dorong pelajar B40 cemerlang STPM 2023

Kemiskinan hidup dorong pelajar B40 cemerlang STPM

MALVENA Jenepa Jauti (tengah) berkongsi kegembiraan dengan ibu bapanya semasa ditemui di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tekad untuk keluar daripada kemiskinan mendorong pelajar B40 untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.

Keinginan untuk mengubah nasib keluarga membuatkan Malvena Jenepa Jauti,20, melipat gandakan usaha untuk memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Melihat susah payah dihadapi bapanya yang bekerja sebagai penjaga stor di kedai perkakasan mendorong anak bongsu daripada tiga beradik itu untuk cemerlang dalam pelajaran.

Katanya, dia tidak mahu mewariskan kemiskinan hidup kepada anak-anak. Cukuplah dia sahaja yang tahu betapa sukarnya kehidupan berkeluarga dengan keadaan kewangan yang terbatas.

“Hanya melalui pendidikan sahaja yang boleh mengubah nasib keluarga kami. Saya mahu menjadi generasi pertama dalam keluarga yang berjaya dan mampu membuatkan kedua ibu bapa kami bangga,” katanya ketika ditemui semasa pengumuman keputusan STPM 2023 negeri Sabah, baru-baru ini.

Katanya, biar pun dia berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang psikologi di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) namun, sekiranya permohonan melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Guru (IPG) diterima, dia akan menolak tawaran ke universiti.

Malvena berkata, dia telah menghadiri temuduga kemasukan ke IPG baru-baru ini dan meletak harapan yang tinggi dapat diterima masuk ke IPG agar hasratnya untuk menjadi guru tercapai.

Sementara itu, Errol Jackson Mejon,20, dari SMK Tamparuli yang turut memperoleh PNGK 4.00 memberitahu melihat kesukaran bapa sebagai seorang pemandu lori di Dewan Bandaraya Kota

Kinabalu (DBKL) mendorong dia bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib keluarga.

ERROL Jackson Mejon (tengah) menunjukkan keputusan cemerlang STPM diperoleh kepada ibu bapanya semasa ditemui di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu baru-baru ini.

“Sebagai anak sulung daripada empat beradik, saya memikul tanggungjawab yang berat untuk mengubah nasib keluarga. Cabaran sebagai anak daripada keluarga B40 adalah kekangan kewangan,” katanya.

Errol berhasrat menyambung pengajian dalam bidang undang-undang agar impiannya untuk menjadi peguam akan tercapai.

“Sekiranya dapat menjadi peguam, saya akan menjadi orang pertama dalam keluarga kami yang mempunyai kerjaya dalam bidang ini,” katanya.

Katanya, dia tidak terfikir untuk melanjutkan pengajian di luar negara kerana kekangan kewangan yang dihadapi membuatkan dia berpijak di bumi nyata. Melanjutkan pengajian di universiti tempatan cukup memadai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN