Kembara Sains Borneo dedahkan sains, teknologi kepada masyarakat

Kembara Sains Borneo dedahkan sains, teknologi kepada masyarakat lebih luas

MOHAMMAD Yusof Apdal (tengah) bergambar bersama para pelajar pada majlis Send Off Pemenang National Science Challenge 2023 ke lawatan luar negara di MOSTI, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kembara Sains Borneo (KSB) yang dilaksanakan menerusi inisiatif Minggu Sains Negara (MSN) 2024 bakal memfokuskan terhadap kumpulan sasar yang lebih spesifik, selain meliputi jangkauan capaian lebih besar berbanding edisi tahun lalu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, pelaksanaan KSB pada kali melibatkan sebanyak 10 kawasan di Sabah dan lima kawasan di Sarawak dengan majlis pelepasan yang akan berlangsung di Lahad Datuk, Sabah pada 1 dan 2 Ogos depan.

Menurut beliau, sepanjang pengembaraan KSB, pelbagai aktiviti dan program akan dilaksanakan bersama masyarakat setempat dalam membudayakan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

“Sabah menunjukkan penyertaan sekolah luar bandar yang tertinggi bagi National Science Challenge (NSC) 2023 iaitu 28 peratus, manakala tahun ini sebanyak 30 peratus, yang mana ia dapat dikaitkan dengan pendedahan berkenaan STIE kepada masyarakat di Sabah hasil aktiviti jangkauan yang bersasar seperti KSB.

“Pendedahan kepada pengetahuan berkaitan STIE melalui inisiatif jangkauan seperti KSB turut menjadikan masyarakat lebih proaktif untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pembudayaan STIE yang ditawarkan baik pihak kerajaan ataupun organisasi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan juara pertandingan NSC 2023 yang akan mengikuti lawatan sambil belajar ke 8th Belt and Road Teenager Maker Camp and Teacher Workshop ke Yunnan, China bermula hari ini sehingga 28 Julai.

Sepanjang lawatan selama tujuh hari itu, pemenang NSC 2023 daripada Kolej Yayasan Saad iaitu Ayra Alisha Mohd Affandi, Jovani Johari dan Maryam Zahra Faisal berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti sains dan teknologi, termasuk seminar oleh ahli akademik dan pakar serta lawatan ke universiti, institut penyelidikan saintifik dan muzium semula jadi.

Mengulas lanjut, Mohammad Yusof berkata, inisiatif pembudayaan STIE yang dibawa oleh MOSTI sentiasa menitikberatkan elemen penglibatan dan perhubungan interaktif antara saintis dan para pelajar.

Jelasnya, sebagai contoh, Karnival Sains melalui platform MSN yang dilaksanakan secara bersasar di negeri-negeri saban tahun akan mengetengahkan slot perkongsian serta demonstrasi sains oleh saintis-saintis jemputan kepada para pengunjung.

Selain itu, katanya, peringkat separuh akhir pertandingan NSC tahun ini juga akan dilaksanakan dalam bentuk STEM Camp yang mana lebih daripada 30 saintis akan dilibatkan sebagai mentor, penceramah dan penilai kepada pasukan-pasukan terpilih daripada 20 sekolah seluruh negara.

“Ia merujuk kepada saranan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi MOSTI mengenal pasti 100 saintis dan melaksanakan program di 100 sekolah serata Malaysia sebagai salah satu langkah meningkatkan minat pelajar kepada STEM (sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi) baru-baru ini.

“Justeru melalui inisiatif-inisiatif tersebut, diharapkan para pelajar dapat menjadikan saintis-saintis ini sebagai contoh untuk mereka melibatkan diri dalam bidang STEM,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN