Kemalangan tujuh kenderaan, akauntan RTM antara dua maut

Kemalangan tujuh kenderaan, akauntan RTM antara dua maut

KEADAAN motosikal yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tujuh buah kenderaan di Sepang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang akauntan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah antara dua mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh buah kenderaan di Jalan Bukit Dugang, di sini pagi tadi.

Mangsa yang maut itu dikenali sebagai Mohamad Firdaus Yahaya, 31, manakala, identiti seorang lagi mangsa tidak didedahkan dan kedua-dua mereka adalah penunggang motosikal.

Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, sebuah lori dipandu seorang lelaki dari arah Putrajaya ke arah Jenderam tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh enam kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lori berkenaan merempuh empat kereta dan dua motosikal sebelum jatuh ke dalam longkang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 40 tahun itu dipercayai terkena serangan jantung menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibat rempuhan itu, seorang penunggang motosikal maut serta-merta di lokasi kejadian manakala, seorang lagi penunggang motosikal disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

“Pemandu lori itu pula mengalami cedera parah dan kini masih dirawat di zon merah Hospital Putrajaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wan Kamarul Azran berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke depan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan sebuah lori terjatuh ke dalam longkang selepas merempuh beberapa kenderaan selain keadaan beberapa mangsa dilihat terbaring di tepi jalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN