Keadaan terkawal, tiada keperluan bawa pulang pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan

Keadaan terkawal, tiada keperluan bawa pulang pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan

MOHAMAD Hassan melancarkan pelepasan konvoi bantuan kemanusiaan selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Kemanusiaan untuk Palestin di Kementerian Luar Negeri di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR/PEMBERITA - HUSNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada keperluan membawa pulang pasukan Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) di Lubnan bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) buat masa ini biarpun konflik Palestin-Israel semakin meruncing.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini, keadaan di negara itu masih terkawal namun, konflik itu sedang diikuti rapat oleh Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa meneliti perkembangan di Semenanjung Gaza dan kawasan sekitar termasuk perkembangan terkini yang melibatkan pembunuhan rakyat di Lubnan.

“Ini (perkembangan terkini di Lubnan) juga merisaukan kita. Bagaimanapun, kita telah membuat beberapa rancangan jika berlaku ini (perkara tidak diingini) termasuk langkah evakuasi.

“Ketika ini, tahap keselamatan anggota tentera kita selaku anggota pengaman PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) di Lubnan masih lagi dalam keadaan baik.

“Malah, kita sentiasa berkomunikasi setiap hari dan belum ada lagi keperluan membawa balik anggota tentera pengaman PBB Malaysia dari Lubnan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Kemanusiaan untuk Palestin, di sini hari ini.

Katanya, sebarang pengunduran membabitkan pasukan pengaman Malaysia itu akan dilakukan dan diselaraskan oleh PBB.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan, jumlah rakyat Malaysia yang berada di negara itu tidak begitu ramai dan kebanyakannya bertugas sebagai anggota pengaman.

“Tak ramai rakyat Malaysia yang bermastautin di Lubnan, yang ramai (adalah) anggota tentera yang bertugas sebagai anggota tentera pengaman UNIFIL atau MALBATT 850-11,” katanya.

Pada November tahun lalu, seramai 218 anggota dan pegawai pasukan MALBATT 850-11 berlepas ke Lubnan dan ditempatkan jauh dari sempadan konflik.

Sebelum ini, Mohamad ketika menjawat Menteri Pertahanan memaklumkan, anggota pengaman Malaysia berada di lokasi lebih selamat iaitu sekitar 20 kilometer dari kawasan persempadanan antara Lubnan dan Israel.

Konflik Israel – Palestin kini memasuki episod baharu apabila Israel dikatakan sudah mendapati kelulusan untuk menyerang Lubnan sudah susulan peningkatan pertempuran rentas sempadan dengan Hizbullah.

Keadaan itu sekali gus meningkatkan ketegangan di seluruh rantau ini, dengan tentera Israel dan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan serta sekutu Hamas, berbalas tembakan hampir setiap hari.

Terdahulu, agensi berita antarabangsa, Anadolu melaporkan beberapa negara menyeru rakyat mereka meninggalkan Lubnan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah.

Antara negara mengambil langkah itu, Arab Saudi, Australia, Jerman, Kanada, Amerika Syarikat, Ireland, Jordan dan United Kingdom. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya