KDN teliti laporan KL antara bandar paling bahaya dilawati

KDN teliti laporan KL antara bandar paling bahaya dilawati

SAIFUDDIN Nasution Ismail mengibarkan Jalur Gemilang pada pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat KDN Tahun 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti laporan platform Forbes Advisor yang menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai antara bandar paling bahaya di Asia Tenggara untuk dilawati.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laporan tersebut dilihat bercanggah dengan Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 yang menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia dan negara ketiga paling aman di rantau Asia Pasifik.

“Kayu pengukur GPI jelas (namun) saya belum baca kayu ukur Forbes Advisor, saya tidak kata saya nafikan, tapi (saya) belum baca.

“Nilai persepsi terhadap jenayah, ada berpuluh kayu pengukur termasuk peruntukan per kapita (dan) keselamatan yang sangat komprehensif, saya nak ulas tapi kayu ukur Forbes ini saya belum teliti.

“(Jadi) saya anggap ia sebagai satu kenyataan yang dibuat oleh Forbes,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini ketika diminta mengulas berhubung laporan yang dikeluarkan oleh Forbes Advisor baru-baru ini.

Dalam indeks berkenaan, Kuala Lumpur menjadi bandar kelima paling bahaya untuk dilawati di Asia Tenggara manakala bandar-bandar lain yang tersenarai dalam kategori sama adalah seperti Yangon, Myanmar diikuti Manila Filipina; Jakarta, Indonesia dan Ho Chi Minh, Vietnam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam di negara ini.

“Apa pun analisis, komitmen PDRM adalah ke arah memastikan keamanan dan ketenteraman awam, segalanya adalah tanggungjawab kami,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Saifuddin memaklumkan bahawa KDN akan mengeluarkan kenyataan berkaitan isu pelacuran terutamanya membabitkan lubuk persundalan di ibu negara, dalam masa terdekat.

Jelasnya, beliau juga mengadakan pertemuan dua hari lalu bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

“Saya diberikan penerangan penuh dan buat masa sekarang biar saya ‘hadam’ semua dahulu. Ada beberapa perkara lagi yang saya nak minta mereka siapkan. Saya akan membuat kenyataan mengenai tajuk ini (isu pelacuran) pada satu masa nanti,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, sebuah akhbar mendedahkan lubuk kegiatan pelacuran tertua sekitar Pudu termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN