KDN rampas 19,924 alat mainan seks, hasil penerbitan bernilai RM1.2 juta

KDN rampas 19,924 alat mainan seks, hasil penerbitan bernilai RM1.2 juta

NIK Yusaimi Yusoff pada sidang akhbar berhubung rampasan pelbagai jenis alat seks dan penerbitan komik lucah pada Ops Cetak 1.0 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya merampas 19,924 pelbagai jenis alat mainan seks, hasil penerbitan dan mesin cetak tanpa lesen dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.2 juta.

Rampasan itu dilakukan menerusi Op Cetak 1.0 yang dijalankan diseluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun lalu.

Setiausaha Bahagian PKK KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, rampasan tersebut merupakan hasil daripada risikan dan intipan yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa secara dalam talian serta premis perniagaan, simpanan dan jualan.

Menurutnya, sepanjang tempoh Op Cetak itu dijalankan, sejumlah 1,759 premis telah diperiksa membabitkan 119 kertas siasatan dibuka dengan penahanan seramai 50 warganegara dan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an hingga 90-an.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 15,602 unit adalah merupakan alat mainan seks yang disita dengan nilai kira-kira RM540,000 di empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Kedah.

“Alat mainan seks adalah bentuk penerbitan yang dilarang di negara ini kerana ia berlawanan dengan nilai dan budaya masyarakat di Malaysia.

“Ia dikhuatiri boleh membawa pengaruh negatif khususnya golongan muda yang akhirnya memberi kesan terhadap psikologi dan memudaratkan moral mereka,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas beliau, selain rampasan di empat buah negeri, KDN turut menyita alat mainan seks di beberapa pintu masuk negara yang disyaki dibawa dari China dan Jepun.

Mengulas lanjut, Nik Yusaimi berkata, secara keseluruhan, operasi yang dijalankan itu melibatkan sitaan ke atas pelbagai jenis bahan penerbitan yang melanggar peruntukan undang-undang seperti buku, majalah, pakaian, aksesori, alat permainan dan mesin cetak.

“KDN mendapati aktiviti penjualan dan pengedaran ini dikesan semakin meningkat menerusi jualan dalam talian selain dijual secara terbuka di premis-premis perniagaan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, KDN turut mengambil tindakan ke atas tiga premis mencetak haram di dua lokasi di Seri Kembangan dan Klang dengan nilai sitaan mesin cetak tidak berlesen dianggarkan RM600,000 dengan penahanan tiga lelaki warga tempatan.

“Berdasarkan pemeriksaan, kita syaki salah sebuah premis di Seri Kembangan itu menjalakan aktiviti mencetak komik lucah hasil penemuan plat cetakan namun, siasatan lanjut masih dijalankan.

“Terdapat pelbagai jenis bahan cetakan yang disita menerusi operasi ini dan salah satunya adalah dalam bentuk komik yang kita khuatiri menyasarkan golongan seperti kanak-kanak dan remaja, selain pengumpul dalam kalangan orang dewasa,” katanya.

Tambahnya, kesemua tindakan itu dibuat berdasarkan Seksyen 3(4) dan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 berkaitan kesalahan mengguna mesin cetak tanpa lesen sah dan pemilikan atau penjualan hasil penerbitan tidak diingini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya