KDN lancar MIDS, pusat data khusus jenayah pemerdagangan orang

KDN lancar MIDS, pusat data khusus jenayah pemerdagangan orang

SAIFUDDIN Nasution Ismail bergambar ketika Sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia dan Majlis Apresiasi MAPO 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan MAPO Integrated Data System (MIDS) iaitu sistem pengurusan data cekap berkaitan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang berlaku di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, MIDS berfungsi menyelaras, mengumpul dan memusatkan data berkaitan jenayah berkenaan yang dilaporkan di negara ini.

Beliau berkata, data itu dibangunkan secara dalaman oleh Bahagian Teknologi Maklumat, KDN yang mengintegrasikan data dari pelbagai sumber dan dianalisis secara menyeluruh untuk memberikan gambaran lebih holistik.

“Ia seterusnya membantu dalam membuat keputusan yang lebih tepat dan berinformasi,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia dan Majlis Apresiasi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), di sini hari ini.

Katanya, pelancaran MIDS itu adalah sebahagian usaha Malaysia untik mencapai penarafan Tahap 1 (Tier 1) pada tahun hadapan dalam senarai pemerhatian pemerdagangan manusia.

Saifuddin berkata, pihaknya telah merangka tiga fokus utama bagi memandu hala tuju pelaksanaan usaha negara dalam menangani isu itu.

“Ia termasuk mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenal pasti dan melindungi mangsa dan menambah baik proses pendakwaan terhadap’ pelaku jenayah pemerdagangan orang,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Malaysia telah berada selangkah di hadapan dalam isu eksploitasi terhadap kanak-kanak selepas kerajaan meminda Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007 pada tahun 2022.

Katanya, menerusi pindaan itu, sebarang cara yang digunakan bagi tujuan eksploitasi terhadap kanak-kanak tidak perlu dibuktikan serta peruntukan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan memperdagangkan kanak-kanak sehingga maksimum 30 tahun pemenjaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN