Kawan ramai, tapi keluarga yang setia- Niezam Zaidi - Utusan Malaysia

Kawan ramai, tapi keluarga yang setia- Niezam Zaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIEZAM Zaidi sudah lama berdamai dengan takdir. Pengalaman terpalit dengan salah guna dadah beberapa tahun lalu kini hanya menjadi pengajaran yang mendewasakan pelakon ini.

Banyak pengajaran yang diambil. Antaranya, mengenal mereka yang setia dan yang pergi saat dia berdepan kesusahan.

Namun Niezam meneladani pengalaman lalu. Bukan dirinya untuk menyalahkan sesiapa atas apa yang terjadi.

“Pengalaman lalu membuka mata saya tentang Tuhan dan keluarga paling utama.

“Kawan ramai, tapi bila saya dibebaskan, baru mereka mula mencari saya. Persoalkan kenapa saya tak hubungi mereka .

“Kawan sekadar bercakap, saya tak salahkan mereka. Tapi keluargalah yang akan bersama kita susah dan senang,” kongsinya.

Niezam bersama seorang pengarah filem dan penolong pengarah pada 2021 didenda Mahkamah Majistret di Kuala Kangsar, Perak atas kesalahan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan.

Mahkamah turut memerintahkan Niezam menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, manakala Mohd. Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing selama tiga dan dua tahun

Kata Niezam lagi, dia bersyukur kerana tidak disisihkan masyarakat selepas kejadian itu menimpa dirinya.

Malah dia gembira dengan kemunculan insan-insan yang bagi yang memberikan dia peluang kedua.

“Komen negatif buat saya lemah. Tetapi saya bersyukur, mereka yang beri sokongan, tidak menilai saya dari sudut peribadi.

“Saya terharu, ada penerbit, yang memberi sokongan, menyatakan mereka tak pernah ‘gam’ saya. Bergenang mata saya mengenangkan kebaikan orang kepada saya.

“Saya tak pernah salahkan sesiapa atas apa yang berlaku kepada saya.

“Apa yang terjadi adalah hikmah yang hanya saya dan Tuhan sahaja yang tahu. Ia satu pengajaran untuk diri saya,” kongsinya.

TERUS BERLAKON

Rezeki tidak pernah salah alamat. Itu pegangan Niezam yang percaya, seburuk mana kejadian menimpanya sebelum ini, Allah tetap menghadirkan rezeki dalam pelbagai bentuk.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon tak pernah putus. Semua okey. Cuma, saya tak boleh rasa selesa. Kena cabar diri.

“Contoh, saya selalu dapat watak antagonis. Takkanlah saya kena terus lakonkan karakter sama. Kena kreatif dalam pelbagaikan, walau pun watak jahat.

“Bidang lakonan ini sudah dituliskan untuk saya. Saya tak kisah menjadi taksub terhadapnya,” kongsinya.

Dalam pada itu, Niezam berlapang dada, terbuka bekerja dengan sesiapa sahaja, termasuk mereka yang sebelum ini pernah memandangnya sebelah mata.

“Tak ada masalah, saya terbuka bekerja dengan sediapa sahaja. Kalau saya kata tak terbuka, maksudnya saya belum reda dengan apa yang berlaku.

“Saya maafkan semua orang. Tak ada masalah, saya okey sahaja,” kongsinya.

Sementara itu, bercakap tentang watak, pelakon tampan ini mengakui tidak pernah bosan kerana sering ditawarkan watak yang sama berulang kali.

“Alhamdulillah, saya tak pernah bosan. Sebab saya sukakan prosesnya. Dulu, mungkin saya buat sebab untuk puaskan hati orang. Kalau tak berjaya, saya jadi rengsek.

“Tapi bila sudah berpengalaman, saya sedar, saya lakonkan satu-satu watak untuk kepuasan diri saya sendiri, walau pun saya sedar, kesempurnaan itu tak wujud,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN