Kajian sejarah ada manfaat bukan sia-sia - Utusan Malaysia

Kajian sejarah ada manfaat bukan sia-sia

Muhammad Sanusi Md. Nor (tengah) dalam Program Gotong-Royong Perdana dan Mega Perangi Aedes di Padang Awan Taman Ria di Sungai Petani, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kedah yakin penyelidikan 20,000 dokumen di luar negara bagi melihat fakta sebenar hubungan antara negeri itu dan Pulau Pinang pada masa lampau bukan perkara sia-sia atau membazir seperti didakwa pihak tertentu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setiap kajian sejarah pasti akan mempunyai nilai dan manfaatnya untuk rakyat. 

“Tiap-tiap ilmu yang Allah campakkan, tiap-tiap bahan sejarah yang Allah simpan untuk kita temui ada guna. Tuhan simpan mumia firaun pasal Tuhan nak kita kaji apa sikap firaun, dia zalim dia kejam dia bunuh nabi-nabi dan mengaku Tuhan. 

“Begitu juga dengan dokumen-dokumen sejarah ini kita boleh manfaatkan, tidak sia-sia,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Program Gotong Royong Perdana dan Mega Perangi Aedes di Padang Awam Taman Ria di sini, hari ini.

Beliau mengulas kritikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong yang mendakwa kajian status sejarah Kedah dan Pulau Pinang adalah pembaziran masa dan sumber.

Rabu lalu, Muhammad Sanusi berkata, pasukan penyelidik terdiri pakar perundangan dan sejarawan sedang meneliti dokumen dan perjanjian sejarah bermula sejak 1821 yang diambil di England, Belanda, Thailand dan Indonesia.

Kerajaan negeri akan menggunakan dapatan kajian itu bagi menentukan hala tuju baharu dalam hubungan antara dua negeri berkenaan termasuk dalam isu berkaitan tuntutan pajakan dan pampasan bekalan air.

Sementara itu, beliau memaklumkan pembenihan awan di negeri ini akan dilakukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selama tiga hari iaitu bermula 29 hingga 31 Julai ini.

“Pembenihan awan ini ikhtiar, Insha-Allah semoga Allah makbulkan usaha itu untuk hujan dan paras empangan akan naik kembali seterusnya menstabilkan air sungai terutama Sungai Muda,” katanya. 

Tambahnya, takungan air di empangan menyusut dengan cepat apabila bekalan dilepaskan secara serentak bagi tujuan pertanian, domestik dan industri.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi bimbang dengan peningkatan drastik kes denggi di negeri ini apabila Kedah mencatatkan lapan kematian dengan enam daripadanya berlaku di Kuala Muda. 

“Daerah Kuala Muda telah rekod enam kematian akibat denggi. Sehubungan itu kita perlu ambil langkah segera membendung wabak ini dengan menjaga kawasan kediaman, longkang dan membersihkan tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya