Kadar fi cetak VOC di Semenanjung turun kepada RM20

Kadar fi cetak VOC di Semenanjung turun kepada RM20

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan kadar fi untuk mencetak Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) di Semenanjung diturunkan daripada RM50 kepada RM20 berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kadar bayaran VOC di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan juga diturunkan daripada RM25 kepada RM20, manakala kadar fi di Sarawak dikekalkan.

“Penyelarasan ini bertujuan untuk merapatkan jurang perbezaan kadar fi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, kekerapan pemeriksaan berkala untuk kenderaan sekolah memandu akan diturunkan dari setiap enam bulan kepada setiap tahun bagi kenderaan yang berusia bawah 10 tahun dari tarikh pendaftaran, bermula hari ini.

Jelasnya, pengecualian pemeriksaan berkala juga akan diberikan kepada kenderaan baharu sekolah memandu yang berusia tidak melebihi tiga tahun.

“Manakala, kekerapan pemeriksaan berkala untuk kenderaan sekolah memandu yang melebihi 10 tahun adalah setiap enam bulan.

“Dasar ini akan menggalakkan sekolah memandu untuk menyediakan kenderaan yang lebih baharu untuk calon-calon sekolah memandu. Kebanyakan kenderaan ini digunakan dalam litar sekolah memandu atau di laluan tetap ujian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, permohonan Peraturan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) asing melonjak kepada 23,649 bagi tempoh antara 28 Mei hingga 29 Jun, melebihi jumlah keseluruhan pada tahun lalu, iaitu 15,424 permohonan.

Menurutnya, dalam tempoh yang sama, sebanyak 6,120 tag VEP dikeluarkan kepada pemohon, manakala 1,080 tag VEP telah diaktifkan.

“Penerima diingatkan untuk mengaktifkan tag VEP dengan memuat naik gambar nombor pendaftaran kenderaan bersama tag VEP yang telah dilekat di https://vepams.jpj.gov.my selepas menerima tag VEP tersebut. Tag VEP tidak sah sekiranya tidak diaktifkan.

“Saya juga ingin memaklumkan permohonan untuk mendapatkan VEP masih boleh dibuat selepas tarikh penguatkuasaan pada 1 Oktober depan,” katanya.

Katanya, pada masa sama, MOT juga telah menambah baik sistem dan proses pendaftaran VEP yang mula dilaksanakan dalam portal VEP mulai Jumaat lepas yang akan meminimakan keperluan untuk berurus secara emel atau di kaunter.

Jelas beliau, antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan adalah pembatalan pendaftaran atau ‘deregistration’ VEP yang boleh dilakukan secara dalam talian dan VEP yang telah tamat tempoh iaitu mencapai lima tahun dari tarikh pendaftaran akan dibatalkan secara automatik.

“Selain itu, turut dilaksanakan ialah pembaharuan VEP boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu menunggu tag VEP sedia ada tamat tempoh dan notifikasi akan dihantar kepada pemilik kenderaan 60 hari, 30 hari dan 10 hari sebelum tamat tarikh tempoh VEP.

“MOT juga menambah anggota untuk mengurus pertanyaan emel dari lima orang kepada 15 orang dan pertambahan staf dari tujuh kepada 12 orang di VEP Collection Centre.

“Ini akan bantu percepatkan proses menjawab sebarang pertanyaan melalui emel atau di kaunter yang telah meningkat berlipat ganda sejak pengumuman penguatkuasaan,” katanya.

Pada 28 Mei lalu, Loke mengumukan Peraturan VEP asing di sempadan darat Malaysia-Singapura dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Oktober ini bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya