Kad akreditasi pemandu bas sedang diperincikan - Loke

Kad akreditasi pemandu bas sedang diperincikan – Loke

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperincikan beberapa peraturan baharu berhubung cadangan pengeluaran kad akreditasi bagi pemandu bas.

Menterinya, Anthony Loke berkata,
secara dasarnya, pihaknya bersetuju dengan pengeluaran kad terbabit, namun beberapa perkara masih perlu diperhalusi.

Beliau berkata, perkara itu telah dibangkitkan beberapa bulan lalu namun, beberapa peraturan perlu diperincikan sebelum boleh dilaksanakan.

“Buat masa ini, (perincian) kad pemandu sedang dilaksanakan dan kita sedang memperincikan beberapa peraturan berkaitan pengeluaran kad ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali menggesa agar kad akreditasi pemandu bas dikeluarkan bagi mengekang amalan buruk membabitkan pemandu berkenaan.

Jelasnya lagi, kad itu juga dapat memastikan pemandu bas bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukannya jika terdapat aduan dikemukakan ke atas pemandu berkenaan.

Sementara itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pula memaklumkan, buat masa ini, kad akreditasi itu hanya dikeluarkan kepada pemandu e-hailing dan teksi.

Berhubung operasi bersepadu Bas Pelancongan dan Ekspres yang sedang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula, Loke berkata, setakat ini, sebanyak 351 pemeriksaan sudah dijalankan.

“Seramai enam pemandu bas ditahan kerana gagal ujian saringan air kencing dalam operasi bermula sejak Selasa lalu. Selain itu, empat kes dikesan kerana tiada lesen memandu serta pelbagai kesalahan lain.

“Saya nak nyatakan bahawa penguatkuasaan ini bukan dilakukan secara bermusim. Penguatkuasaan ini akan berterusan untuk semua jenis kenderaan, sama ada bas persiaran, bas ekspres, bas kilang dan juga lori,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya