Juruaudit pihak ketiga dilantik teliti laporan berkaitan HRD Corp

Juruaudit pihak ketiga dilantik teliti laporan berkaitan HRD Corp

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan melantik juruaudit profesional pihak ketiga demi menjamin ketelusan susulan laporan-laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa  Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap operasi Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Menterinya, Steven Sim berkata, audit bebas ini akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan  kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garis panduan dalam isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan kedua-dua badan berkuasa itu.

“Saya telah mengarahkan Kesuma untuk menjalankan audit bebas (independent audit) ke atas HRD Corp.

“Kesuma kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit profesional  pihak ketiga dan proses perolehan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 31 Julai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Steven, tempoh masa audit bebas dan tempoh laporan dikeluarkan bakal ditentukan sebaik sahaja juruaudit dilantik.

Jelasnya, audit bebas tersebut akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain.

“HRD Corp  telah diarahkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua  pihak yang berkaitan.

“Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ditubuhkan bagi  memudah cara siasatan-siasatan yang sedang berjalan,” katanya.

Katanya, Jawatankuasa itu juga akan meneliti laporan laporan JAN dan PAC, termasuk hasil siasatan SPRM serta audit  bebas.

Pasukan petugas khas ini seterusnya akan memastikan tindakan  susulan termasuk penambahbaikan dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Semalam, SPRM mengesahkan telah memulakan penyiasatan berhubung isu HRD Corp dengan mengambil dokumen-dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dari Kesuma dan HRD Corp.

Hasil analisis awal mendapati 12 rumusan teguran yang diketengahkan dalam Laporan Audit tersebut, namun fokus utama siasatan SPRM menjurus kepada elemen-elemen jenayah (criminality) yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada masa sama, SPRM menjelaskan tidak akan menumpukan siasatan terhadap isu-isu kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan kerana perkara-perkara tersebut telah pun dijelaskan dan diperkemaskan oleh pengurusan HRD Corp sewaktu Exit Conference dengan JAN sebelum ini.

Khamis lalu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 dilaporkan berkata, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Sementara PAC pula mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya