PUTRAJAYA: Jika benar wujud kerjasama antara UMNO dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) maka, pihak yang patut gerun dan risau adalah Bersatu.
Itu respon Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil susulan usaha terbaharu dan wujudnya pertemuan antara wakil UMNO dan Pas bagi membentuk kerjasama dalam PRU16 nanti.
Bagaimanapun, Fahmi dimaklumkan, perbincangan ke arah itu (kerjasama) tidak berlaku sepertimana yang dinyatakan oleh pemimpin UMNO.
“Saya rasa sebenarnya yang berasa gerun adalah Bersatu. Bersatu pastinya sangat bimbang kerana mereka adalah liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN) dan Pas,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Jelas Fahmi lagi, dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, wujud permintaan daripada ahli Pas untuk menghantar wakil parti itu sebagai calon walaupun ia adalah kerusi Bersatu.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan wujudnya beberapa siri pertemuan bersama pemimpin utama UMNO untuk membincangkan kerjasama bagi menghadapi PRU16.
Ahmad Fadhli berkata, pertemuan itu bagaimanapun dibuat secara tidak rasmi dengan pemimpin UMNO yang tidak didedahkan.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menegaskan bahawa tiada pertemuan atau perbincangan rasmi antara parti itu dengan Pas. – UTUSAN