PETALING JAYA: Anggota kumpulan Blackpink, Jennie, tampil memohon maaf setelah video vlog di Youtube menunjukkan dia didakwa menghisap rokok elektronik atau vape di dalam bangunan tular di media sosial.
Menerusi rakaman berkenaan, bintang K-Pop itu dilihat memegang alat peranti vape berwarna hitam ketika bersolek sebelum menghala pod ke mulutnya dan menghembuskan asap.
Odd Atelier Entertainment dalam kenyataan memohon maaf kepada semua yang merasa tidak selesa dengan tindakan penyanyi itu.
“Jennie mengakui dan amat menyesali kesilapannya kerana vaping di dalam bangunan dan menyebabkan ketidakselesaan kepada kakitangan.
“Jennie juga telah menghubungi kakitangan yang hadir pada masa kejadian untuk memohon maaf secara peribadi.
“Kami memohon maaf kepada para peminat yang merasa kecewa dan berjanji akan menampilkan imej yang lebih matang serta positif pada masa hadapan,” ujarnya.
Setelah video tersebut menerima kritikan, Jennie telah menyunting keluar adegan kontroversi itu dan memuat naik semula video berkenaan.
Untuk rekod, menghisap rokok mahupun vape di dalam bangunan adalah salah di sisi undang-undang Korea Selatan.
Menurut laporan Korea Times, terdapat warganet mendakwa insiden itu mungkin berlaku di Capri, Itali iaitu lokasi Jennie menjalani penggambaran bukannya di Korea.
Sementara itu, Kementerian Luar Korea Selatan mengesahkan pihaknya menerima petisyen untuk menyiasat insiden merokok Jennie daripada pihak berkuasa Itali dan mengambil tindakan tegas terhadap bintang itu.-UTUSAN