Jenazah Nur Farah Kartini dituntut ahli keluarga, dibawa ke Pekan untuk dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah Nur Farah Kartini dituntut ahli keluarga, dibawa ke Pekan untuk dikebumikan

VAN yang membawa jenazah Nur Farah Kartini Abdullah meninggalkan Hospital Sungai Buloh untuk dikebumikan di Pekan, Pahang. - UTUSAN/FARIZZUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Van jenazah yang membawa Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, meninggalkan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini pada pukul 2.05 petang.

Jenazah tersebut telah dituntut ahli keluarga selepas keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengesahkan identiti wanita yang ditemukan di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, Isnin lalu adalah Nur Farah Kartini.

Van tersebut turut diiringi kereta peronda polis jenis Honda Civic menuju ke Pekan, Pahang bagi proses pengebumian penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) tersebut.

Turut kelihatan lebih 20 ahli keluarga, kenalan dan kakitangan UPSI yang turut mengiringi van tersebut.

Terdahulu, abang Nur Farah Kartini, Mohd. Farriza Amir, 28, mengucapkan terima kasih kepada semua pengamal media serta masyarakat yang selama ini sentiasa mendoakan adiknya.

Menurut Mohd. Farriza Amir, jenazah Allahyarham adiknya akan dibawa ke Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor sebelum dikebumikan di Kampung Nyior Manis, Bentan, Pekan, Pahang.

“Terima kasih juga kepada pihak Universiti Sultan Idris (UPSI) yang banyak membantu kami,” katanya.

“Jangkaan Allahyarham akan dikebumikan petang ini di Pekan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan identiti mayat wanita yang ditemukan di lokasi kejadian adalah Nur Farah Kartini.

Katanya, jenazah akan serahkan pada waris, hari ini.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN