Jangan sewa kenderaan kepada warga asing tanpa lesen memandu sah

Jangan sewa kenderaan kepada warga asing tanpa lesen memandu sah

AEDY menyoal siasat pemandu warga asing dalam Ops PeWA oleh JPJ di sekitar Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Biarpun berulang kali dikompaun, warga tempatan di sini dilihat masih tidak serik apabila tetap menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu sah.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan memanggil mereka yang terbabit untuk diberikan khidmat advokasi supaya tidak lagi mengulangi kesalahan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengatur kerjasama dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi membolehkan khidmat advokasi itu diberikan.

“Kita akan sediakan pegawai kita untuk beri khidmat nasihat sebab perkara ini dah berlaku banyak kali. Ada yang dah dikompaun tetapi masih lagi memberi kebenaran kepada warga asing (tanpa lesen memandu sah) untuk menggunakan kenderaan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Bersepadu Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di antara JPJ dan PPj, di sini hari ini.

Katanya, Ops PeWA memfokuskan kepada pemeriksaan semua jenis kenderaan yang dipandu warga asing dan pemandu kenderaan.

Terdahulu, dalam operasi itu, sebanyak 90 kenderaan telah diperiksa dengan 73 kenderaan disita membabitkan 72 motosikal dan sebuah kereta.

Aedy berkata, sebanyak 228 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan antaranya pemandu warga asing tidak memiliki lesen memandu yang sah, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan nombor pendaftaran palsu.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa melaksanakan tanggungjawab untuk mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Warga Malaysia dimohon untuk tidak membenarkan atau tidak menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing kerana ia akan mengakibatkan risiko yang tinggi kepada warga asing dan pemilik kenderaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN