PASIR GUDANG: Ahli UMNO dan akar umbi parti diingatkan agar tidak menyerang parti dengan 1,001 tuntutan seolah-olah parti yang mendominasi kerajaan pada ketika ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu hanya membuatkan parti dan kepimpinan tertinggi berada dalam dilema untuk memenuhi tuntutan tersebut.
Beliau turut mengingatkan agar ahli di peringkat akar umbi tidak mengutuk kerajaan seolah-olah terlupa UMNO hanya ada dalam kerajaan kerana berkongsi kuasa.
“Jadi, atas sebab itulah jangan kita meletakkan parti dan kepimpinan dalam keadaan tersepit. Saya akui kadang-kadang parti dalam dilema, dilema dengan desakan-desakan sedangkan kita ini lemah.
“Kita tidak mempunyai pilihan, kita didesak, dituntut dan diugut macam seolah-olah kita ini dominan di dalam kerajaan hari ini. Justeru, janganlah menyerang parti mendesak dengan tuntutan yang boleh menyebabkan pergeseran antara parti yang sama-sama membentuk kerajaan,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di UniKL Seri Alam, di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pada masa ini adalah lebih penting buat parti mengatur langkah dan meneruskan perjuangan UMNO dengan politik khidmat bakti.
Tambahnya, tiada gunanya untuk berterusan mendesak parti meninggalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, tindakan itu hanya akan mengeruh dan merumitkan lagi keadaan antara parti-parti terbabit.
“Apabila calon Kerajaan Perpaduan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Baharu, Selangor suara ini tidak kedengaran. Namun, apabila tewas di PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang, ada yang desak kaji semula posisi dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ahli UMNO dan akar umbi kena terima hakikat kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan. Oleh itu, lebih baik tumpu untuk memperkuatkan semula parti, mudah-mudahan ia akan menyumbang kepada kejayaan UMNO, Barisan Nasional di Johor,” katanya. – UTUSAN