Jaga keharmonian, junjung Perlembagaan Persekutuan - Pemangku Raja Perlis - Utusan Malaysia

Jaga keharmonian, junjung Perlembagaan Persekutuan – Pemangku Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama para penerima anugerah sempena Majlis Maal Hijrah peringkat negeri ini di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat agar sentiasa menjaga keharmonian, menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan peraturan serta menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Baginda bertitah, sikap bertoleransi, saling memaafkan, sentiasa menepati dan melaksanakan tanggungjawab serta santun hendaklah dibudayakan.

Tuanku Syed Faizuddin juga menekankan bahawa aset utama paling bernilai yang ada di negara ini ialah perpaduan.

Selain itu, titah bagida, setiap rakyat Perlis juga hendaklah berusaha mencapai keharmonian walaupun wujud kepelbagaian latar belakang.

“Setiap warganegara juga perlu menjunjung dan berpegang teguh dengan Perlembagaan, undang-undang dan peraturan kerana di situ terletaknya kunci keadilan dan penyatuan selain sumber keharmonian dan kesejahteraan hidup.

“Setiap orang hendaklah mengetahui kebolehfungsian yang ada dalam dirinya dan disesuaikan dengan persekitaran sekeliling dalam usaha memberikan sumbangan dan usaha demi agama, bangsa dan negara serta mengutamakan kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi.

“Nikmat hidup itu pada memberi dan sumbangkanlah sesuatu, walaupun kecil ia tetap menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan umat seluruhnya,” titah baginda merasmikan majlis Maal Hijrah peringkat negeri ini di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang di sini semalam.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri ini kepada Datuk Wan Ariff Wan Hamzah yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Seterusnya baginda bertitah, agensi-agensi agama negeri perlu terus berusaha mempertingkatkan tahap profesionalisme dan menggiatkan usaha pembangunan kerohanian masyarakat sama ada berbentuk pengisian ilmu, pengimarahan masjid dan sebarang aktiviti seumpamanya.

Dalam pada itu, titah baginda, penghayatan peristiwa hijrah dalam sirah juga perlu diterapkan kepada ummah.

“Iaitu bermula dengan pejabat kerajaan, masjid, surau, institusi pengajian tinggi, sekolah dan medium lain termasuk pusat pemulihan supaya penghijrahan minda, adab dan budaya warga Perlis terlaksana secara sekata dan bersepadu,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN