Isu penyondol ganggu emosi Marsha Milan

Isu penyondol ganggu emosi Marsha Milan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun hampir sembilan tahun dalam dunia perkahwinan, penyanyi dan pelakon, Marsha Milan mengakui isu ‘penyondol’ yang terjadi dalam kalangan artis sedikit sebanyak mengganggu emosinya terutamanya ketika berjauhan dengan keluarga atas tuntutan kerja.

Kata Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh, 38, sebagai wanita berstatus isteri, dia memahami perasaan itu namun enggan terlampau lantang melontarkan pandangan apatah lagi melemparkan kutukan terhadap mana-mana pihak.

“Kalau boleh saya tak nak terlalu lantang bercakap berkenaan isu ini sebab kita sendiri ada perkahwinan yang nak dijaga.

“Saya selalu tiada di rumah disebabkan komitmen kerja. Agak tertekan juga yang kadangkala hasil titik peluh kita, orang tak nampak tapi benda-benda negatif pula yang lebih terserlah.

“Walaupun situasi kerja saya sebagai anak seni agak sibuk di luar rumah tapi kita kena sentiasa berjaga-jagalah,” ujarnya.

Menurut penyanyi Cinta itu, dia bersyukur kerana memiliki suami yang memahami akan kerjayanya.

“Saya bersyukur suami seorang yang sangat memahami dan menyokong segala yang dilakukan. Saya akan cuba untuk mencuri masa untuk bersama suami sebab kita tak nak perkara seumpama ini berlaku.

“Suami pun seorang yang memahami kerja saya dan dia pun kerap tanya update karier saya. Alhamdulilah, saya minta dijauhkan perkara ini.

“Saya tak mahu isu suami rakan sendiri disondol kawan baik apa lagi pada diri sendiri. Tapi kita cuma boleh berdoa untuk diri dan kawan-kawan agar dijauhkan benda-benda begini,” ujarnya.

Marsha berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Majlis Menandatangani Kerjasama antara Alternate Records & Talents bersama Universal Music Malaysia baru-baru ini.

Dia merupakan antara artis yang bakal memulakan projek kerjasama itu bersama penyanyi lain seperti Ernie Zakri, Sonaone, Rahmad Mega dan ramai lagi.

Sementara itu, Marsha turut akui tindakan memeriksa telefon bimbit pasangan mungkin akan mengundang rasa kurang senang dan tak percaya antara pasangan.

“Walaupun kami tahu ‘password’ telefon masing-masing, tapi kami tak periksa telefon.

“Saya rasa selagi kita letakkan kepercayaan antara satu sama lain, tak perlu nak ‘check’ telefon pasangan. Sebab bila kita mula triggered, mulalah akan banyak persoalan bermain di kepala.

“Jadinya tak payah (periksa telefon). Alhamdulillah, saya tak pernah lagi berdepan dengan situasi cubaan suami disondol sebab dia seorang family man. Dia tak suka berjalan, selalu ada saja di rumah,” kongsinya lagi.

Dalam perkembangan lain, Marsha memberitahu sedang dalam proses menyiapkan album terbaharunya yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Untuk rekod, Marsha mendirikan rumah tangga pada tanggal 31 Disember 2015 bersama pasangannya, Mohamed Shaiful Nizam, 38. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN