PUTRAJAYA: “Kita tidak layan surat layang,” kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil susulan isu aduan salah guna kuasa di Jabatan Penerangan (JaPen) seperti didedahkan saluran Telegram, Edisi Siasat semalam.
Fahmi berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan dalaman malah, ia juga telah sampai ke pengetahuan Ketua Setiausaha Kementerian untuk siasatan selanjutnya.
“Sehingga hari ini kita tidak mendapati perkara yang membimbangkan atau merisaukan.
“Perkara itu tidak berlaku. Yang dimaklumkan ini berkait dengan bekas Ketua Pengarah (JaPen) tersebut, bukan sekarang (Ketua Pengarah JaPen sekarang),” katanya.
Berdasarkan surat layang tersebar itu, ia mendedahkan perbuatan salah guna kuasa bekas Ketua Pengarah JaPen dalam melantik seorang pegawai secara pentadbiran sebagai pegawai khasnya.
Turut didedahkan juga, pegawai khas mempunyai kuasa untuk menguruskan aspek kewangan di salah sebuah bahagian di jabatan berkenaan.
Surat layang itu turut mendedahkan dengan teliti beberapa kakitangan di jabatan sama yang terlibat dalam salah guna kuasa itu.
Berdasarkan pengamatan, surat layang itu dialamatkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki lengkap dengan cop terima surat bertarikh 15 Mei lalu.
Surat layang itu turut diedarkan kepada penerima dalam senarai salinan kepada (sk) iaitu Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Kementerian. – UTUSAN