Isu HRD Corp: Kesuma sudah serah laporan kepada SPRM

Isu HRD Corp: Kesuma sudah serah laporan kepada SPRM

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sudah menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung isu membabitkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Laporan tersebut diserahkan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood di ibu pejabat SPRM, di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Menurut Khairul Dzaimee, laporan yang dibuat itu adalah selaras dengan syor dikemukakan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) agar pihak kementerian melaporkan kepada agensi penguatkuasaan.

“Laporan ini mengandungi isu-isu yang dibangkitkan LKAN dan maklum balas yang diberikan oleh kementerian (kepada) HRD Corp iaitu agensi di bawah Kesuma yang dinamakan atau terlibat dalam laporan ini,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

LKAN 2/2024 yang diumumkan semalam mengesyorkan Kesuma merujuk kepada agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung ketidakteraturan yang dikenal pasti terhadap pengurusan HRD Corp.

LKAN turut mendapati HRD Corp mempunyai kelemahan pengurusan dalam melaksanakan operasi dan aktiviti syarikat mengikut tatakelola dan peraturan ditetapkan hingga agensi itu belum mencapai objektif penubuhannya, termasuk petunjuk utama prestasi (KPI) 2023 dan pindaan KPI tidak diluluskan lembaga pengarah.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, susulan laporan yang dibuat, SPRM turut memberi jaminan untuk menjalankan siasatan yang adil dan penuh profesional berhubung isu tersebut.

Ditanya sama ada terdapat pegawai HRD Corp yang akan digantung tugas susulan penemuan LKAN berkenaan, beliau menjelaskan Kesuma tidak akan menggantung tugas mana-mana pegawai berikutan tindakan itu hanya dilakukan sekiranya kementerian menjalankan siasatan dalaman terhadap kes tersebut.

“Tidak ada, sekiranya domestic inquiry diwujudkan (barulah) pegawai digantung sementara. Oleh kerana siasatan dilakukan oleh SPRM, jadi tak perlu mana-mana pegawai ditahan tugas atau digantung sementara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya