Isu HRD Corp belum diklasifikasi skandal kewangan terbesar - Fahmi

Isu HRD Corp belum diklasifikasi skandal kewangan terbesar – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan belum memutuskan untuk mengklasifikasikan isu pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) sebagai skandal kewangan terbaharu negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan masih di peringkat penilaian oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Beliau berkata, setakat ini, kerajaan belum ada maklumat penuh mengenai isu berkenaan.

“Tapi mungkin kita perlu penelitian dulu dan kita beri ruang kepada ahli Parlimen untuk membahas dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim untuk memberikan jawapan di Parlimen dulu.

“Belum masanya untuk kita membuat apa-apa pengklasifikasian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini ketika ditanya sama ada kerajaan mahu mengklasifikasikan isu HRD Corp sebagai skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, pihaknya mendapati sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Jelas Mas Ermieyati lagi, matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang.

Sebelum itu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 semalam berkata, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya