Insiden gas bocor KLIA: Gas bocor dikesan pada sebuah tangki skid terbiar

Insiden gas bocor KLIA: Gas bocor dikesan pada sebuah tangki skid terbiar

Mukhlis menerangkan operasi dan situasi insiden gas bocor kepada Azman di KLIA. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Insiden gas bocor di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pagi tadi disahkan berpunca daripada kebocoran pada sebuah tangki skid terbiar.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, siasatan mendapati, bahan kimia yang bocor itu dikenal pasti sebagai Methyl Mercapta iaitu sejenis gas yang dicampurkan dalam gas memasak.

Beliau berkata, kebocoran gas itu dikesan pada sebuah tangki skid terbiar dan ia tidak digunakan selama lebih sembilan tahun.

“Kebocoran itu dikesan pada salah satu injap gas tangki itu dan ia terletak di sekitar bangunan Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MAB Engineering) dan MAB Academy Sdn Bhd.

“Setakat ini, kebocoran gas telah dikawal dan dua bangunan itu telah selamat digunakan selepas pemeriksaan lanjut dilakukan Gas Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Katanya, pihak Gas Malaysia telah melakukan tampalan sementara pada tangki itu sebagai langkah segera sebelum ia dibawa ke satu tempat untuk dilupuskan.

Azman berkata, setakat pukul 6 petang tadi, pihaknya mengesahkan insiden gas bocor itu dapat dikawal sepenuhnya dan KLIA bebas dari apa-apa bencana.

Menurutnya, pihaknya ingin mengesahkan KLIA selamat dari apa-apa bencana dan orang ramai tidak perlu lagi gusar malah, tahap keselamatan di sekitar lokasi insiden juga disahkan selamat.

“Orang awam tidak perlu gusar dan sudah boleh datang berurusan di KLIA dan kawasan sekitarnya seperti biasa,” katanya.

Katanya, gas itu tidak berbahaya dan tidak boleh membawa maut, namun ia boleh mendatangkan pening, muntah dan loya bagi mereka yang kurang ketahanan badan.

Dalam pada itu, katanya, 39 mangsa disahkan terjejas akibat insiden itu masing-masing daripada MAB Academy dan MAB Engineering dan kebanyakannya mereka dirawat di lokasi kejadian.

“Manakala, 14 mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Udara (ADU), KLIA manakala, seorang mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya bagi mendapati rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, sekitar 900 kakitangan masing-masing di MAB Academy dan MAB Engineering dipindahkan ke lokasi selamat dan diarahkan pulang susulan tercetus insiden itu sekitar pukul 11.23 pagi tadi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai 14 anggota daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengawal dan memantau insiden itu.

“Ketika awal insiden, bacaan gas adalah sekitar 600 bahagian per juta (ppm) manakala, kawasan sekitarnya bacaan adalah normal iaitu di bawah 150 ppm,” katanya.

Katanya, pihaknya masih menyiasat sama ada insiden itu terkait dengan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau tidak memandangkan tangki skid itu sudah terbiar lebih sembilan tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya