Inovasi SK Guar Jentik hasilkan manisan guna harumanis

Inovasi SK Guar Jentik hasilkan manisan guna harumanis

MURID-murid dan guru SK Guar Jentik melangkah setapak ke hadapan apabila menghasilkan produk Yummy Gummy Mango menggunakan mempelam harumanis. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meskipun terletak di kawasan luar bandar dengan murid sekitar 190 orang namun Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Jentik terus melangkah ke depan apabila berjaya menghasilkan inovasi manisan menggunakan ekstrak buah mempelam harumanis.

Menerusi penghasilan tersebut, murid-murid sekolah berkenaan didedahkan dengan inovasi produk dikenali sebagai Yummy Gummy Mango bagi meningkatkan kemahiran mereka khususnya dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Penyelaras program berkenaan, Nor Halmey Hamdah berkata, inovasi tersebut merupakan cetusan idea pihaknya sendiri dalam mempelbagaikan manfaat buah mempelam harumanis yang mengandungi pelbagai khasiat seperti vitamin, mineral, tenaga, serat pemakanan dan antioksidan.

“Kita sedia maklum Perlis memang terkenal dengan buah mempelam harumanis namun jika ditanya kepada kanak-kanak, tidak semua menggemarinya walaupun mengandungi pelbagai khasiat.

“Bertitik tolak daripada situ, saya mendapat cetusan idea untuk mempelbagaikan lagi manfaat buah ini menerusi penghasilan manisan Yummy Gummy Mango dengan menggunakan ekstrak buah mempelam harumanis,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Mengulas lanjut, Nor Halmey berkata, bagi penghasilan ekstrak berkenaan, pihaknya menggunakan bahagian isi buah mempelam harumanis dalam kategori sub gred yang masih cantik dan tidak rosak.

“Produk ini merupakan penghasilan kami secara bersama dengan bantuan daripada Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr Noor Shazliana Aizee.

“Penghasilan ini juga merupakan produk inovasi pertama dibuat menggunakan ekstrak buah harumanis yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, guru pembimbing program berkenaan, Ezlin Ezlina Chik berkata, antara bahan yang digunakan bagi penghasilan produk itu adalah seperti air, gula pasir, gelatin ikan, glukosa dan ekstrak buah mempelam harumanis.

Katanya, penghasilan pemanis mulut itu juga mengambil masa sekitar 30 minit dan tidak menggunakan sebarang perasa tambahan bagi mengekalkan khasiat buah berkenaan.

“Kita juga hanya menggunakan setitik sahaja pewarna bagi menaikkan lagi warna produk ini dalam menarik minat kanak-kanak,” katanya. Selain itu, Ezlin berkata, produk dihasilkan itu juga mampu bertahan dalam tempoh dua minggu sekiranya diletakkan disimpan di dalam peti sejuk.

Katanya, pihak sekolah bersama murid turut mendapatkan tunjuk ajar daripada Noor Shazliana yang banyak membantu dalam menjayakan penghasilan produk berkenaan.

“Kita sedang berusaha untuk mengkomersialkan produk ini dan harga bagi pasarannya dijangka bermula dari RM5 hingga RM8,” katanya.
Guru Besar SK Guar Jentik, Safuandy Sabri, berkata, menerusi penghasilan itu, pihaknya melihat minat murid-murid kategori luar bandar terhadap inovasi produk semakin meningkat sekali gus menjadi magnet untuk mereka ke sekolah.

Katanya, pada asalnya, produk itu dihasilkan bertujuan sebagai persediaan sekolah bagi pertandingan inovasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak lama lagi.

“Namun begitu, tanpa dijangka ramai pihak telah menyatakan minat malah Majlis Perbandaran Kangar (MPK) juga turut menawarkan bagi mengambil hak eksklusif penjualan produk ini buat pengunjung luar, ” katanya.

Di samping itu, murid yang terlibat dengan program tersebut, Alisha Eryna Ahmad Firdaus, 12, berkata, pihaknya amat teruja apabila dapat mempelajari inovasi produk berkenaan yang sememangnya amat menarik.

Katanya, penghasilan produk itu juga dapat meningkatkan pengetahuan murid sekolah khususnya dalam bidang inovasi.c  – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN